
Pasangan suami isteri yang dilaporkan hilang bersama-sama anak lelaki mereka berusia sembilan tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan permainan “kutu”.
ALOR SETAR: Pasangan suami isteri yang dilaporkan hilang bersama-sama anak lelaki mereka berusia sembilan tahun ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes penipuan permainan “kutu”.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintenden Mohd Radzi Abdul Rahim berkata pasangan berusia 36 dan 39 tahun itu menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada 1.30 pagi tadi.
“Mereka ditahan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dalam permainan kutu yang melibatkan kerugian RM25,000 dan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini.
“Polis juga menerima laporan daripada seorang lelaki yang menjadi mangsa penipuan itu melibatkan kerugian RM25,000,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, polis mengesahkan menerima laporan kehilangan tiga beranak itu yang juga tular di media sosial.
Laporan dibuat seorang ahli keluarga tiga beranak itu di Balai Polis Bukit Kayu Hitam mendakwa mereka hilang dan gagal dihubungi dari 20 Julai selain guru memberitahu kanak-kanak itu tidak hadir ke sekolah.






