Najib Masih Berhadapan Pelbagai Kes Walaupun Jalani Tahanan Rumah

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 6:45 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Najib Masih Berhadapan Pelbagai Kes Walaupun Jalani Tahanan Rumah

KUALA LUMPUR, 18 Sept 18 (Bernama) -- Keputusan membenarkan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan di rumah, tidak menamatkan kes jenayah dan sivil lain yang sedang dihadapinya.

Aturan tahanan di rumah itu, merujuk kepada hukuman penjara enam tahun dalam kes SRC International Sdn Bhd yang melibatkan penyelewengan dana berjumlah RM42 juta. Hukumannya dijadualkan tamat pada 23 Ogos 2028.

Bagaimanapun, Najib masih berhadapan prosiding undang-undang lain, termasuk rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 15 tahun dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pada 26 Dis 2025, Mahkamah Tinggi mensabitkan Najib atas 25 pertuduhan membabitkan penyalahgunaan kedudukannya untuk memperoleh dana kira-kira RM2.3 bilion dan kesalahan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan mengenakan denda RM11.4 bilion. Mahkamah mengarahkan hukuman penjara 15 tahun itu bermula selepas Najib selesai menjalani hukumannya dalam kes SRC International.

Najib telah memfailkan rayuan terhadap sabitan dan hukuman itu pada 29 Dis 2025.

Sementara itu, dalam kes sivil berasingan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 31 Mac 2026, mahkamah mendapati Najib bertanggungjawab ke atas kerugian yang dialami oleh SRC International berjumlah kira-kira USD1.3 bilion.

Mahkamah mendapati Najib telah memungkiri tugas fidusiarinya, menyalahgunakan kedudukannya dan menyeleweng dana syarikat untuk tujuan peribadi.

Mahkamah membenarkan tuntutan SRC International sebanyak USD1.18 bilion dan memerintahkan Najib membayar jumlah tersebut, sebagai tambahan kepada USD120 juta yang telah diterimanya daripada syarikat itu, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira USD1.3 bilion.

SRC International memfailkan saman sivil itu pada Mei 2021, dengan pada awalnya menamakan Najib dan enam bekas pengarah sebagai defendan.

Syarikat itu kemudiannya menggugurkan enam bekas pengarah tersebut daripada saman berkenaan, menjadikan hanya Najib dan bekas ketua pegawai eksekutif SRC Nik Faisal Ariff Kamil, sebagai defendan.

Penghakiman ingkar telah direkodkan terhadap Nik Faisal pada 2021, lantas menjadikan Najib sebagai defendan tunggal dalam prosiding tersebut. Najib juga berdepan dengan prosiding jenayah lain yang berkaitan dengan SRC International dan 1MDB.

Sementara itu, pada 20 Jun 2025, Mahkamah Tinggi telah melepas dan membebaskannya daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta milik SRC International.

Pembebasan Najib dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy, dalam kes meminda laporan audit 1MDB dikekalkan, selepas Mahkamah Rayuan pada 12 Sept 2023 membatalkan dua notis rayuan yang difailkan oleh pihak pendakwaan.

Perkara ini berikutan kegagalan pihak pendakwaan untuk memfailkan petisyen rayuannya dalam tempoh masa yang ditetapkan serta gagal memohon lanjutan masa untuk memfailkan petisyen tersebut.

Dalam satu lagi kes yang melibatkan enam pertuduhan pecah amanah jenayah berhubung pembayaran RM6.6 bilion kepada International Petroleum Investment Company (IPIC), Najib dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah, juga telah dilepas dan dibebaskan.

Secara berasingan, 1MDB telah memfailkan saman sivil berjumlah kira-kira USD5.64 bilion terhadap Najib dan enam individu lain. Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Redzuan Idrus dijadualkan bersambung pada 15 Mac tahun depan.

Saman tersebut mendakwa antara lain, wujudnya pelanggaran tugas fidusiari dan statutori, penyalahgunaan kuasa, konspirasi serta penyelewengan dana 1MDB.

Baca juga:

Najib juga berhadapan saman sivil bernilai RM42 juta yang difailkan terhadapnya oleh SRC dan anak syarikatnya Gandingan Mentari Sdn Bhd. Kes itu telah selesai pada 16 Mac tahun ini dan pihak-pihak yang terlibat kini sedang membuat penghujahan lisan mereka di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan.

Sementara itu, mengenai prosiding kebankrapan terhadap Najib dan anaknya Datuk Mohd Nazifuddin, pada 4 Sept tahun ini, Mahkamah Rayuan telah membenarkan penangguhan prosiding kebankrapan terhadap kedua-dua mereka.

Penangguhan itu dibenarkan sementara menunggu penyelesaian rayuan mereka di hadapan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) berhubung taksiran cukai tambahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Prosiding kebankrapan itu berpunca daripada keputusan Mahkamah Tinggi yang berasingan, dengan Mahkamah itu membenarkan LHDN merekodkan penghakiman terus terhadap dua beranak tersebut, berhubung tunggakan cukai yang tidak dibayar bagi tahun taksiran 2011 hingga 2017.

LHDN memfailkan tuntutan untuk mendapatkan semula RM1.69 bilion daripada Najib dan RM37.6 juta daripada Mohd Nazifuddin.

Kedua-dua Najib dan Mohd Nazifuddin gagal dalam rayuan mereka di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan penghakiman terus berkenaan.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved