Keputusan Lembaga Pengampunan Tidak Jejaskan Usaha Perangi Rasuah - PM 

LocalPolitics
18 Sep 2026 • 6:53 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

Keputusan Lembaga Pengampunan Tidak Jejaskan Usaha Perangi Rasuah - PM 

PUTRAJAYA - Keputusan Lembaga Pengampunan terhadap Datuk Seri Najib Razak tidak menjejaskan prinsip kerajaan untuk mengambil tindakan tegas terhadap semua kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menegaskan perkara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan kekal berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang, selain menekankan bahawa keputusan berkenaan tidak bermakna negara perlu berkompromi dengan amalan rasuah atau penyalahgunaan kuasa.

Menurut beliau, semua kes rasuah termasuk membabitkan bekas Perdana Menteri itu yang masih dalam proses perundangan, perlu diteruskan mengikut lunas undang-undang.

“Sebagai Perdana Menteri, tanggungjawab saya adalah memberikan nasihat berkaitan implikasi undang-undang, kestabilan negara dan prinsip kedaulatan undang-undang, selain mengambil kira nasihat serta panduan menyeluruh dan terperinci daripada Peguam Negara.

“Bagaimanapun, pada akhirnya, Perlembagaan memberikan kuasa mutlak kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Nur Perdana, Presint 10 di sini hari ini.

Anwar turut menegaskan, prinsip kedaulatan undang-undang serta pendirian kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap semua kes rasuah kekal tidak berubah.

“Saya ingin menegaskan bahawa prinsip kedaulatan undang-undang dan keputusan kita untuk mengambil tindakan terhadap semua kes rasuah kekal tidak berganjak.

“Ini tidak bermakna negara perlu tunduk kepada amalan golongan yang menjarah kekayaan negara dan rasuah,” katanya.

Terdahulu, Lembaga Pengampunan memberikan pengampunan bersyarat kepada Najib yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Pengampunan bersyarat itu turut menetapkan Najib perlu membayar denda RM50 juta serta mematuhi semua syarat yang dikenakan. - Getaran, 18 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved