
Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Semalam (17 September), tular di media sosial surat Perintah Tahanan Rumah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang didakwa ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh.
Perkongsian itu nyata mendapat perhatian hingga ramai yang mempersoalkan kesahihan perkara berkenaan.
Hannah Nafi Tandatangan Surat Perintah Tahanan Rumah, Lembaga Belum Bersidang
Namun tidak sampai beberapa jam, Hannah yang merupakan Ahli Parlimen Segambut menjelaskan dia tidak pernah menandatangani sebarang perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial.
Jelasnya menerusi hantaran di Facebook, Lembaga Pengampunan juga masih belum lagi bersidang.
“Saya tidak pernah menandatangani perintah tahanan rumah seperti yang sedang tular di media sosial.
“Lembaga Pengampunan masih belum bersidang. Tolong jangan sebarkan dokumen palsu ini,” katanya.
Ekoran isu yang sedang tular ini, Hannah menjelaskan Setiausaha Akhbarnya, Ahmad Fazli Mohd Yadi telah pun membuat laporan kepada pihak berkuasa.
Menerusi tangkap layar yang dikongsikan, Hannah dipercayai membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Setiausaha Akhbar Turut Nafikan Isu Tandatangan Surat Perintah Tahanan Rumah
Pada masa sama, Ahmad Fazli dalam satu hantaran di Threads turut menafikan dakwaan tersebut dan mendakwa ia adalah fitnah.
“Saya menafikan bahawa itu tandatangan rasmi Hannah Yeoh dan jelas ini adalah fitnah semata-mata. Itu bukan tandatangan Hannah.
“Saya akan buat laporan kepada pihak berkuasa dalam masa terdekat,” katanya.
Ahmad Fazli berkata demikian selepas menjawab hantaran yang dimuat naik oleh seorang penggguna yang menzahirkan rasa syukur selepas Najib didakwa akan menjalani perintah tahanan rumah.
Pengguna berkenaan turut memuat naik imej notis perintah tersebut yang ditandatangani Hannah.
View on Threads
Difahamkan, kenyataan itu dibuat ketika isu pengampunan Najib kembali menjadi topik perbualan ramai.
Ia selepas media melaporkan bahawa Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan akan bermesyuarat pada hari ini (18 September) seminggu selepas isu berkenaan ditangguhkan.
Malah, laporan itu turut mendakwa mesyuarat tersebut hanya mempunyai satu perkara dalam agenda iaitu permohonan pengampunan Najib.
Sebelum ini, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong pada 11 September lalu menangguhkan permohonan pengampunan Najib dalam mesyuarat yang akan datang.
Baca Artikel Berkaitan:
YDPA Perkenan Tangguh Permohonan Pengampunan Najib, Bebas 65 Banduan Yang Lain






