
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki tidak menyangka Range Rover yang dipandu ditahan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Jalan Bukit Bintang, di sini malam tadi selepas selesai menghantar pemilik kenderaan mewah itu ke sebuah kelab malam.
Kenderaan jenis Range Rover 5.0 Autobiography itu disita selepas pemeriksaan mendapati cukai jalan atau Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh sejak 22 April lalu, selain tiada perlindungan insurans.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pemandu tersebut ditahan pada pukul 9.19 malam dalam operasi penguatkuasaan ke atas kenderaan perdagangan dan kenderaan mewah.
“Ketika ditahan, pemandu terbabit memaklumkan dia baru menurunkan pemilik kenderaan mewah itu di sebuah kelab malam untuk berhibur.
“Pemandu itu memaklumkan kenderaan tersebut jarang dipandu dan baru keluar dari bengkel,” katanya.
Menurut beliau, pemilik kenderaan itu merupakan bos sebuah syarikat pengangkutan di Klang dan dikatakan mempunyai banyak kenderaan. – KOSMO! ONLINE
The post Hantar bos berhibur, Range Rover pula disita JPJ appeared first on Kosmo Digital.






