
KUALA LUMPUR – Gara-gara pemiliknya yang pulang ke Nigeria tidak dapat kembali ke Malaysia kerana masalah visa, sebuah Ford Mustang GT Auto disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur berikutan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan kenderaan itu tamat tempoh.
Kenderaan mewah itu ditahan pasukan Team Charlie di Jalan Kuchai di sini pada pukul 11.19 pagi, 17 Mei lalu.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata, pemeriksaan mendapati kereta itu mempunyai perlindungan insurans, namun LKM telah tamat tempoh sejak 11 Januari lalu.
“Pemandu kereta itu memaklumkan pemilik kenderaan yang merupakan warga Nigeria sudah pulang ke negara asal dan tidak dapat kembali ke Malaysia kerana masalah visa.
“Keadaan itu menyebabkan proses penukaran nama pemilikan kenderaan tidak sempat dilakukan,” katanya.
Menurut beliau, kenderaan tersebut kemudiannya disita pihak JPJ atas kesalahan LKM tamat tempoh. – KOSMO! ONLINE
The post Tidak sempat tukar nama, Mustang warga Nigeria disita appeared first on Kosmo Digital.






