
Nancy Shukri prihatin, bantu urus jenazah warga Sarawak bagi mempercepatkan urusan
Hantar Pulang Jenazah Rakyat Sarawak Dari Korea Selatan, Nancy Shukri Sumbang RM31,082. Ahli Parlimen Santubong Datuk Seri Nancy Shukri telah menyampaikan RM31,082.25 kepada Wisma Putra bagi membantu pengurusan atau penghantaran jenazah Nurhaslinda Abdullah, rakyat Sarawak yang meninggal dunia di Seoul, Korea Selatan pada 25 Disember lalu.
Menurut sumber, Nancy berkata dana tersebut bertujuan untuk mempercepatkan proses penyelesaian bil hospital, pengurusan jenazah dan kos pengebumian.

“Jika kita lambatkan proses ini, kosnya hanya akan meningkat. Jadi, pejabat Ahli Parlimen Santubong telah terlebih dahulu membayar dana pendahuluan.
“Jenazahnya akan dibawa pulang dari Seoul pada 4 Januari,” katanya.
Perlu bantuan kewangan untuk pengurusan jenazah
Laporan menyatakan bahawa keluarga Nurhaslinda yang berusia 30 tahun itu memerlukan bantuan kewangan untuk penghantaran jenazahnya.
Difahamkan, Nurhaslinda, yang mula bekerja di Korea Selatan pada September, pernah menjalani pembedahan untuk jantung berlubang 10 tahun lalu dan juga seorang pesakit asma.

