Hanya 122 orang sertai tinjauan Belanjawan Kuala Lumpur 2027: Gabungan persatuan penduduk gesa DBKL lebih telus

LocalPolitics
23 Sep 2026 • 12:36 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hanya 122 orang sertai tinjauan Belanjawan Kuala Lumpur 2027: Gabungan persatuan penduduk gesa DBKL lebih telus Image from: Hanya 122 orang sertai tinjauan Belanjawan Kuala Lumpur 2027: Gabungan persatuan penduduk gesa DBKL lebih telus liza23/09/2026 - 12:36 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept – Persatuan Tindakan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Mampan (KLRA+SD) menggesa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerbitkan garis panduan rasmi belanjawan penyertaan sebelum 31 Disember 2026 susulan tahap penyertaan awam yang rendah iaitu 122 orang dalam rundingan penyediaan Belanjawan Kuala Lumpur 2027.

 

Gabungan persatuan penduduk itu berkata pihaknya menyambut baik pendekatan Belanjawan Inklusif dan Penyertaan Komuniti oleh DBKL namun berpandangan rangka kerja yang lebih jelas dan telus diperlukan bagi memastikan penduduk benar-benar dapat mempengaruhi keutamaan perbelanjaan bandar ray aitu.

 

KLRA+SD berkata hanya 122 orang memberi maklum balas terhadap tinjauan Belanjawan 2027 DBKL di seluruh Kuala Lumpur walaupun ibu negara mempunyai anggaran penduduk melebihi dua juta orang.

 

Tinjauan berkenaan yang pada asalnya berakhir pada 30 April dilanjutkan sehingga 15 Jun selepas hanya menerima 90 maklum balas. Namun, tempoh tambahan itu hanya menghasilkan 32 penyertaan lagi, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 122.

 

Penyertaan penduduk perlu lebih menyeluruh

KLRA+SD berkata tahap penyertaan yang rendah itu menimbulkan kebimbangan terhadap keterangkuman proses rundingan, khususnya melibatkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta penduduk yang mungkin berdepan kesukaran untuk mengambil bahagian dalam tinjauan secara dalam talian.

 

Persatuan itu turut membangkitkan persoalan mengenai kaedah pemilihan peserta bagi sesi perbincangan kumpulan fokus (Focus Group Discussion) Belanjawan 2027 DBKL yang diadakan pada 8 September lalu.

 

Menurut KLRA+SD, maklum balas daripada komuniti menunjukkan ramai pemimpin masyarakat tidak mengetahui mengenai sesi perbincangan tersebut.

 

“Sebahagian peserta dipercayai dijemput berdasarkan penyertaan mereka dalam tinjauan, manakala sebahagian lagi mempunyai hubungan melalui pejabat Ahli Parlimen, Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan atau hubungan kerja sedia ada dengan DBKL.

 

“Semua pihak berkenaan merupakan pemegang taruh yang sah, namun DBKL perlu mendedahkan secara terbuka kaedah yang digunakan untuk mengenal pasti dan memilih peserta bagi proses rundingan tersebut,” katanya.

 

Mahu kitaran belanjawan tahunan yang jelas

Persatuan itu berkata penduduk tidak sepatutnya perlu berdepan dengan kaedah rundingan yang berbeza setiap tahun tanpa mengetahui bila dan bagaimana mereka boleh mengambil bahagian dalam proses penyediaan belanjawan.

 

Sehubungan itu, KLRA+SD mencadangkan DBKL mewujudkan satu kitaran belanjawan tahunan yang tetap, merangkumi proses pengemukaan idea, rundingan awam, penetapan keutamaan, peruntukan, kelulusan, pelaksanaan, perbelanjaan dan hasil.

 

Ia turut menggesa DBKL menetapkan tempoh rundingan yang jelas, kriteria penyertaan yang telus serta laporan awam mengenai sejauh mana cadangan penduduk mempengaruhi keputusan belanjawan.

 

Menurut KLRA+SD, belanjawan penyertaan tidak seharusnya terhad kepada proses mengumpul cadangan daripada penduduk semata-mata.

 

Sebaliknya, penduduk perlu diberikan peluang untuk menjejaki cadangan mereka dan mengetahui sama ada cadangan berkenaan dimasukkan ke dalam belanjawan yang diluluskan, jumlah peruntukan yang disediakan serta hasil yang dicapai.

 

DBKL digesa jelaskan keutamaan perbelanjaan

Walaupun mengakui proses penyediaan Belanjawan 2027 sudah berjalan, KLRA+SD menggesa DBKL menerbitkan belanjawan akhir dengan maklumat yang mencukupi supaya penduduk dapat memahami peruntukan dan keutamaan perbelanjaan bandar raya.

 

Persatuan itu berkata proses belanjawan yang benar-benar melibatkan penduduk tidak sepatutnya berakhir dengan sekadar menyatakan bahawa pandangan masyarakat telah diminta.

 

Sebaliknya, penduduk perlu dapat mengikuti perjalanan cadangan mereka daripada peringkat pengemukaan sehingga keputusan dibuat, peruntukan dibelanjakan dan hasil pelaksanaannya dapat dilihat.

 

KLRA+SD berkata pendekatan sedemikian penting bagi memastikan penglibatan penduduk dalam penyediaan belanjawan bukan sekadar proses mendapatkan maklum balas, tetapi menjadi sebahagian daripada mekanisme membuat keputusan mengenai perbelanjaan Kuala Lumpur. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved