amree23/09/2026 - 12:00 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Sept — Hartanah Kenyalang Berhad menggesa kerajaan memperkenalkan mekanisme harga bagi kontrak awam berharga tetap, susulan peningkatan kos bahan binaan dan bahan api yang terus memberi tekanan kepada aliran tunai kontraktor.
Pengarah Urusannya Seah Boon Tiat berkata, langkah itu diharap dipertimbangkan dalam Belanjawan 2027 kerana merupakan perkara penting yang boleh mempengaruhi keputusan pelaburan, terutama ketika kontrak pembinaan lazimnya diberikan pada harga tetap.
Tambah beliau, kenaikan kos simen, keluli, bahan api, logistik dan buruh menyebabkan kontraktor kumpulan berkenaan terdedah kepada perubahan kos sepanjang tempoh pelaksanaan projek, sedangkan nilai kontrak pula memang tidak berubah.
“Hartanah Kenyalang sendiri perlu berhati-hati dengan aliran tunai kerana kontrak kami berharga tetap tetapi harga bahan binaan dan bahan api menunjukkan trend peningkatan akibat ketidaktentuan perkembangan semasa dunia,” jelasnya.
Boon Tiat turut merujuk data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang menunjukkan harga simen di Kuching dan Miri meningkat 7.2% tahun ke tahun (YoY) pada Julai 2026, iaitu antara kadar kenaikan paling tinggi di negara ini.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan mekanisme pelarasan harga yang adil dan telus bagi menangani kenaikan kos luar biasa, sekali gus membolehkan risiko dikongsi dengan lebih seimbang tanpa menjejaskan kualiti projek.
Selain mekanisme harga, beliau berkata, Belanjawan 2027 juga perlu menyediakan pelan pelaksanaan projek infrastruktur awam yang kukuh dan berbilang tahun, lengkap dengan garis masa tender serta pemberian kontrak secara jelas.

"Kepastian terhadap pelaksanaan projek membolehkan kontraktor dapat membuat perancangan pelaburan dengan lebih awal, mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan memperkukuh keupayaan industri pembinaan tempatan," tambah Boon Tiat.
Di samping itu, kerajaan diharap terus memberi keutamaan kepada bangunan institusi dan prasarana penting di Sarawak, termasuk sekolah daif, kemudahan kerajaan, jalan luar bandar, jambatan, infrastruktur air serta kuarters penjawat awam.
Beliau berkata, Hartanah Kenyalang sendiri mempunyai pengalaman luas dalam beberapa projek yang berkaitan di Sarawak, termasuk kerja menaik taraf sekolah daif, Arkib Negeri, Jambatan Sebauh dan Jambatan Sungai Padas.
Sementara itu, Boon Tiat berkata, pelaksanaan cukai perkhidmatan 6% ke atas perkhidmatan pembinaan sejak 1 Julai 2025 bagi penyedia dengan hasil tahunan melebihi RM1.5 juta dilihat menambah tekanan kepada kos tender, khususnya projek institusi dan bukan kediaman.
"Keadaan lebih mencabar bagi projek dengan nilai kontrak ditetapkan, terutama tender harga tetap apabila kos tambahan itu mungkin tidak dapat dipindahkan kepada pelanggan atau dituntut semula selepas siap," tambah beliau.
Justeru, beliau menggesa kerajaan memberi kejelasan serta bantuan bersasar, termasuk pengecualian lebih luas atau mekanisme bayaran balik bagi projek awam penting seperti sekolah, kemudahan kesihatan, infrastruktur luar bandar dan kuarters kerajaan. - DagangNews.com





