Kerajaan dijangka tidak perkenalkan semula GST dalam Belanjawan 2027 – Kenanga

LocalBusiness & Finance
23 Sep 2026 • 11:07 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Kerajaan dijangka tidak perkenalkan semula GST dalam Belanjawan 2027 – Kenanga Image from: Kerajaan dijangka tidak perkenalkan semula GST dalam Belanjawan 2027 – Kenanga liza23/09/2026 - 11:07 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 23 Sept – Belanjawan 2027 dijangka memberi keutamaan kepada bantuan kos sara hidup, khususnya bagi isi rumah berpendapatan sederhana dengan kerajaan meneruskan konsolidasi fiskal tanpa memperkenalkan cukai baharu berskala besar.

 

Kenanga Investment Bank berkata, kerajaan dijangka mengimbangi bantuan kepada isi rumah dengan pelaburan dalam sektor strategik termasuk kecerdasan buatan (AI), semikonduktor, tenaga boleh baharu dan infrastruktur digital.

 

Dalam Tinjauan Belanjawan Persekutuan Malaysia 2027, firma penyelidikan itu mengunjurkan defisit fiskal Kerajaan Persekutuan mengecil kepada 3.5% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada 2027 berbanding anggaran 3.8% pada 2026, disokong pertumbuhan ekonomi yang berterusan serta kecekapan perbelanjaan yang lebih baik.

 

Belanjawan 2027 yang dijadual dibentangkan pada 9 Oktober akan menjadi Belanjawan MADANI kelima dan belanjawan kedua di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).

 

GST Tidak Dijangka Kembali, SST Kekal

Kenanga tidak menjangkakan kerajaan akan memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) atau melaksanakan langkah percukaian baharu berskala besar dalam pembentangan belanjawan kali ini.

 

Sebaliknya, kerajaan dijangka memberi lebih tumpuan kepada peningkatan kutipan hasil melalui peluasan Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST), e-Invois, Cukai Minimum Global serta pengukuhan pentadbiran cukai.

 

Menurut Kenanga, kesediaan kerajaan mengkaji ciri tertentu GST dalam rangka kerja SST sedia ada tidak seharusnya ditafsirkan sebagai petunjuk bahawa cukai itu akan diperkenalkan semula.

 

“Antara penambahbaikan yang berpotensi termasuk pemadanan invois yang lebih baik, pengurangan kesan cukai berlapis serta kajian semula pengecualian cukai.

 

“Kami menjangkakan hasil Kerajaan Persekutuan susut sedikit kepada RM365 bilion pada 2027 berbanding unjuran RM370 bilion pada 2026, sebahagiannya disebabkan pendapatan berkaitan petroleum yang lebih rendah,” kata Kenanga dalam nota kajiannya.

 

Firma penyelidikan itu turut memberi amaran bahawa asas hasil Malaysia yang agak kecil kekal terdedah kepada turun naik harga minyak dan komoditi, sekali gus menunjukkan kepentingan mempelbagaikan sumber hasil dalam jangka panjang.

 

Peruntukan STR dan SARA Dijangka Bertambah

Bagi bantuan kepada isi rumah, Kenanga menjangkakan kerajaan meningkatkan sokongan bersasar bagi membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, khususnya golongan M40 dan berpendapatan rendah.

 

Jumlah peruntukan gabungan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) mencapai RM15 bilion pada 2026, iaitu paras tertinggi setakat ini.

 

Kenanga menjangkakan peruntukan itu meningkat lagi pada 2027 ketika kerajaan memperkukuh bantuan bersasar sambil meneruskan rasionalisasi subsidi.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan peruntukan lebih tinggi bagi Dasar Gaji Progresif, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), latihan semula tenaga kerja serta pembangunan bakat digital.

 

Katanya, Bajet 2027 berpotensi memperluas akses kepada alat AI bersubsidi dan program latihan berstruktur bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja serta menyediakan rakyat Malaysia untuk pekerjaan bernilai lebih tinggi.

 

Perbelanjaan Kerajaan Diunjur RM448 Bilion

Kenanga mengunjurkan perbelanjaan bersih Kerajaan Persekutuan sebanyak RM448 bilion pada 2027, sedikit lebih rendah berbanding anggaran RM453 bilion pada 2026.

 

“Perbelanjaan operasi diunjurkan susut kepada RM364 bilion daripada RM369.5 bilion, terutamanya disebabkan jangkaan bil subsidi bahan api yang lebih rendah.

 

“Bagaimanapun, perbelanjaan bagi gaji penjawat awam, pencen, penjagaan kesihatan, pendidikan dan bantuan bersasar dijangka kekal tinggi.

 

“Sementara itu, perbelanjaan pembangunan dijangka meningkat kepada RM85 bilion daripada RM84 bilion apabila kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek infrastruktur strategik di bawah RMK-13,” kata firma tersebut.

 

Kenanga mengenal pasti kesalinghubungan pengangkutan, pembangunan perindustrian, pendigitalan dan peralihan tenaga sebagai antara bidang yang berpotensi diberi keutamaan.

 

Ini termasuk penerusan pelaksanaan Laluan LRT Mutiara Pulau Pinang, MRT3, Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta infrastruktur sokongan bagi Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura.

 

Firma penyelidikan itu turut menjangkakan perhatian berterusan terhadap Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura, Strategi Semikonduktor Nasional, infrastruktur pusat data, tenaga boleh baharu dan pembangunan sistem penyimpanan bateri.

 

KDNK Malaysia Dijangka Berkembang 5% Pada 2027

Kenanga menjangkakan ekonomi Malaysia berkembang 5% pada 2027, sederhana daripada unjuran pertumbuhan 5.3% pada 2026.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan Kementerian Kewangan menetapkan sasaran rasmi pertumbuhan KDNK 2027 antara 4.5% hingga 5.5%.

 

Penggunaan swasta dijangka kekal sebagai pemacu utama pertumbuhan, disokong keadaan pekerjaan, pertumbuhan pendapatan dan bantuan bersasar kepada isi rumah.

 

Pelaburan dalam sektor elektrik dan elektronik, pusat data, tenaga boleh baharu serta pembuatan berteknologi tinggi turut dijangka menyokong aktiviti ekonomi.

 

Menurut Kenanga, sektor perkhidmatan dijangka mendapat manfaat daripada aktiviti pelancongan dan penganjuran Sukan Asia Tenggara ke-34 pada 2027, manakala aktiviti pembinaan kekal disokong projek infrastruktur utama.

 

Bagaimanapun, risiko luaran termasuk ketegangan perdagangan, ketidaktentuan geopolitik dan pertumbuhan global yang lebih lemah berpotensi memberi tekanan kepada prestasi ekonomi Malaysia.

 

Nisbah Hutang Kerajaan Dijangka Menurun

Kenanga mengunjurkan nisbah hutang Kerajaan Persekutuan kepada KDNK menurun kepada 62.2% pada 2027 daripada 63.7% pada 2026.

 

Bagaimanapun, jumlah hutang tertunggak dijangka meningkat kepada kira-kira RM1.49 trilion pada 2027, menunjukkan penurunan nisbah hutang itu terutama didorong pertumbuhan ekonomi dan bukannya pengurangan keperluan pinjaman.

 

Kos khidmat hutang pula dijangka berkurang kepada 16.5% daripada hasil kerajaan berbanding 16.8%, namun masih melebihi paras sasaran kerajaan sebanyak 15%.

 

Kenanga berkata unjuran fiskalnya kekal sensitif terhadap harga minyak mentah global.

 

Unjuran sedia ada mengandaikan harga minyak mentah Brent pada purata AS$80 setong pada 2026 dan AS$74 setong pada 2027 namun andaian itu sedang dikaji semula untuk dinaikkan kepada kira-kira AS$90 dan AS$80 setong.

 

Kenanga berkata keupayaan mengekalkan konsolidasi fiskal akhirnya bergantung kepada disiplin perbelanjaan, peningkatan kutipan hasil serta pertumbuhan ekonomi yang berterusan ketika Malaysia berusaha mencapai sasaran RMK-13 untuk mengurangkan defisit fiskal kepada kurang daripada 3% KDNK menjelang 2030. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved