Hanya 8 perkongsian data PADU boleh semak bantuan, elak pertindihan agihan - Akmal Nasrullah 

LocalPolitics
19 Nov 2026 • 10:40 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Hanya 8 perkongsian data PADU boleh semak bantuan, elak pertindihan agihan - Akmal Nasrullah  Image from: Hanya 8 perkongsian data PADU boleh semak bantuan, elak pertindihan agihan - Akmal Nasrullah  amree19/11/2026 - 10:40 Gambar hiasan - BERNAMA Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 19 Nov — Hanya lapan daripada 30 permohonan perkongsian data Pangkalan Data Utama (PADU) yang diluluskan kerajaan setakat September 2026 digunakan khusus bagi pengesahan penerima bantuan, serta mengelakkan pertindihan agihan dan mengenal pasti golongan layak yang tercicir.

 

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, PADU dibangunkan sebagai platform bersepadu yang menggabungkan banyak data daripada pelbagai agensi kerajaan di Malaysia bagi membentuk profil sosioekonomi rakyat negara ini dengan turut dikemas kini secara berkala dan hampir masa nyata.

 

Menurutnya, pangkalan data tersebut membolehkan agensi pelaksana dapat terus menyemak serta mengesahkan kelayakan penerima berdasarkan kepada kriteria bantuan yang ditetapkan, di samping boleh mengenal pasti kemungkinan berlaku pertindihan penerima antara beberapa kementerian dan agensi.

 

"Pemadanan maklumat individu serta isi rumah dengan data pentadbiran pelbagai agensi turut mengurangkan kesilapan kemasukan penerima yang tidak layak dan mengenal pasti individu atau keluarga yang berpotensi layak tetapi belum menerima bantuan bersesuaian," tegas beliau.

 

Akmal Nasrullah berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai keberkesanan pangkalan data kerajaan dalam mengurangkan pertindihan bantuan serta mengenal pasti isi rumah layak yang sebelum ini tercicir di Dewan Rakyat pada Rabu.

 

Menjelaskan lanjut, liputan profil perlindungan sosial PADU turut dipertingkat menerusi integrasi dengan Pangkalan Data Perlindungan Sosial (PDPS), yang membolehkan maklumat program serta jumlah bantuan diterima setiap individu atau isi rumah dikenal pasti secara lebih menyeluruh.

 

Akmal Nasrullah_Bernama
Gambar BERNAMA

 

PADU juga ujar beliau, berperanan sebagai sistem sokongan belakang tabir kepada perkhidmatan digital kerajaan menerusi pendekatan perkhidmatan data (Data-as-a-Service) dan analitik (Analytic-as-a-Service), selaras dengan matlamat Rancangan Pendigitalan Sektor Awam 2026-2030.

 

"Melalui pemadanan profil sosioekonomi dengan kriteria kelayakan sesuatu program, kerajaan akan dapat mengenal pasti kumpulan sasaran berdasarkan kepada maklumat isi rumah tersebut, status kemiskinan mereka serta jenis bantuan yang sudah pun diterima," kata Akmal Nasrullah.

 

Tambah beliau, PADU mula dimanfaatkan agensi kerajaan sejak 2025 susulan pengedaran Garis Panduan Perkongsian PADU pada Februari tahun sama. Antara agensi yang sudah menggunakan data PADU bagi menentukan kumpulan sasaran bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

 

Selain itu, Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia, Lembaga Zakat Selangor dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) turut memanfaatkan PADU bagi menyemak silang data penerima bantuan.

 

Kementerian Ekonomi ujar Akmal Nasrullah, akan terus mengadakan sesi libat urus dengan agensi kerajaan bagi memperluas penggunaan PADU dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13), khususnya bagi penyelarasan bantuan kerajaan lebih bersasar.  - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved