amree18/11/2026 - 11:50 AKMAL Nasrullah Mohd Nasir (tengah) ketika mempengerusikan Mesyuarat Pemudah Bilangan 5 Tahun 2026 bersama-sama Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) di Putrajaya. Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Nov — Isu lesen perniagaan yang bertindih dan membebankan bakal diberi perhatian Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah), termasuk cadangan memansuhkan, menggabungkan atau menyeragamkan lesen sebelum proses pendigitalan dilaksanakan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, langkah tersebut bertujuan untuk mengurangkan urusan secara berulang, di samping memendekkan tempoh pemprosesan serta meringankan kos pematuhan yang ditanggung oleh sebahagian besar pemain sektor perniagaan.
Jelas beliau, bagi reformasi pelesenan, tumpuan diberikan kepada usaha penyelarasan lesen lazim untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor borong, runcit serta makanan dan minuman, selain mempercepat pelaksanaan sistem BLESS New Generation (BNG).
"Semakan menyeluruh turut dilakukan bagi mengenal pasti keperluan lesen yang tidak lagi relevan atau bertindih supaya proses pemansuhan, penggabungan dan penyeragaman dapat dilaksanakan sebelum pendigitalan sistem diperluas," katanya dalam kenyataan Kementerian Ekonomi pada Rabu.

Perkara tersebut dipersetujui dalam Mesyuarat Pemudah Bilangan 5 Tahun 2026 pada 16 November 2026 yang dipengerusikan bersama oleh Akmal Nasrullah dan Penasihat Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA), Datuk Wira Dr Ameer Ali Mydin.
Di samping itu ujarnya, Pemudah bersetuju mencadangkan pelanjutan pelaksanaan Prosedur Penginapan Pekerja Jangka Pendek (TLQ) sehingga 31 Disember 2030 sebagai langkah peralihan kepada Penginapan Pekerja Berpusat (CLQ), mengambil kira kekangan bekalan penginapan sedia ada.
Jelas beliau, cadangan pelanjutan tersebut akan dikemukakan untuk pertimbangan pihak berkuasa yang berkaitan, manakala pendekatan penempatan pekerja mengikut sektor akan diperhalusi bersama-sama pihak berkepentingan.
"Langkah berkenaan bertujuan mengimbangi keperluan kesinambungan operasi perniagaan, khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dengan kebajikan serta keperluan penginapan pekerja," kata kenyataan tersebut.

Mesyuarat itu turut mengambil maklum kemajuan pelaksanaan Akta ILTIZAM yang berkuat kuasa sejak 1 Disember 2025, termasuk usaha memperluas penerapannya kepada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Antara keutamaan susulan ialah menambah baik penilaian peraturan, mengurangkan beban kawal selia serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam bagi mewujudkan persekitaran perniagaan yang lebih kondusif.
Kementerian Ekonomi bersama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), selaku urus setia bersama PEMUDAH, akan terus menyelaras pelaksanaan reformasi kawal selia bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati sektor perniagaan dan rakyat. - DagangNews.com






