'Hanya Aminuddin yang pulangkan keseluruhan peruntukan - MB Negeri Sembilan

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 9:30 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 'Hanya Aminuddin yang pulangkan keseluruhan peruntukan - MB Negeri Sembilan
Aminuddin (kiri), Ismail (kanan).

SEREMBAN - Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengesahkan bahawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH) penggal lalu, termasuk dua Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) telah pun memulangkan baki peruntukan yang diterima mereka sejak 30 Jun lalu.

Beliau berkata, pejabatnya ketika ini sedang meneliti rekod peruntukan ADUN PH berkenaan dan jumlah baki yang masih belum dipulangkan.

“Memang ada yang sudah pulangkan, tetapi mungkin tidak sepenuhnya seperti mana yang disalurkan. Mungkin mereka sudah gunakan untuk bantuan kepada rakyat dan sebagainya

"Rekod menunjukkan setakat ini, hanya bekas Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun sahaja yang telah memulangkan keseluruhan peruntukan yang diterima," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bendera Kepada Ketua Kontinjen dan Pengurus Pasukan ke Temasya Para Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di sini, lewat petang Khamis.

Ismail mengulas sidang media barisan ADUN PH daripada pentadbiran terdahulu yang memohon kerajaan negeri mempertimbangka arahan pemulangan semula peruntukan yang diterima bagi tempoh Julai hingga September susulan pembubaran DUN pada 5 Jun lalu.

Ia susulan kenyataan Ismail dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Exco pada Rabu yang mengarahkan mereka berbuat demikian.

Turut dimaklumkan setiap Exco dikehendaki memulangkan peruntukan berjumlah RM150,000 bagi tempoh Ogos hingga September, ADUN biasa sebanyak RM174,000 bagi tempoh Julai hingga September, manakala penyelaras DUN pula RM150,000 bagi tempoh Julai hingga September.

Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu mengakui setiap ADUN terbabit berbeza dari segi jumlah yang perlu mereka pulangkan.

“Surat yang akan dihantar nanti tidak sama bagi setiap orang.

"Ada yang mungkin perlu pulangkan penuh dan ada yang kurang, semuanya bergantung kepada baki setiap DUN masing-masing berdasarkan rekod yang kita simpan,"katanya.

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved