ADUN PH sudah pulangkan baki peruntukan sebelum 10 Julai

LocalPolitics
27 Aug 2026 • 12:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: ADUN PH sudah pulangkan baki peruntukan sebelum 10 Julai

SEREMBAN: Kesemua 17 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta dua penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pakatan Harapan (PH) daripada kerajaan terdahulu telah memulangkan baki peruntukan sebelum 10 Julai lalu.

Wakil ADUN PH, J. Arul Kumar berkata, pemulangan itu dibuat mengikut arahan Pejabat Menteri Besar menerusi surat bertarikh 30 Jun lalu yang menetapkan baki peruntukan yang belum dibelanjakan sehingga tarikh tersebut perlu dipulangkan sebelum 10 Julai.

Beliau yang juga ADUN Nilai berkata, semua ADUN dan penyelaras DUN parti itu turut mengemukakan laporan kewangan masing-masing sehingga 30 Jun lalu, seperti yang diarahkan.

“Saya sudah semak dengan semua ADUN dan semuanya telah menghantar laporan kewangan sebelum 10 Julai. Ada ADUN yang tidak habis menggunakan peruntukan itu dan mereka sudah pulangkan wang tersebut.

“Kalau duit itu masih ada dalam akaun Pusat Khidmat, kita sudah pulangkan balik. Kita tidak mahu simpan duit itu,” katanya dalam sidang akhbar mengenai pemulangan dana kepada ADUN di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Seremban di sini, hari ini.

Arul Kumar berkata, peruntukan yang digunakan sebelum 30 Jun telah diagihkan kepada rakyat serta organisasi berkaitan bagi tujuan kebajikan dan kemasyarakatan, manakala pihaknya tidak membuat sebarang perbelanjaan selepas tarikh tersebut selaras arahan dikeluarkan oleh Pejabat Menteri Besar.

“Walaupun penamaan calon pada 18 Julai, kita pulangkan semua sebelum 10 Julai kerana kita tidak mahu duit ini digunakan ketika kempen sebagai satu alat politik,” katanya.

Selain itu, Arul Kumar turut mempersoalkan arahan terbaharu kerajaan negeri supaya peruntukan berkenaan dipulangkan berdasarkan kiraan bulanan memandangkan ia disalurkan dan diuruskan mengikut suku tahun.

Katanya, peruntukan RM180,000 itu telah diluluskan dalam mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) pada 3 Jun dan telah disalurkan pada 4 Jun, sehari sebelum DUN dibubarkan pada 5 Jun.

“Pada masa kita meluluskan peruntukan tersebut, kita sendiri tidak tahu pembubaran DUN akan berlaku pada keesokan harinya.

“Apabila kita terima peruntukan itu, sudah tentulah kita salurkan kepada individu atau organisasi seperti sekolah, persatuan penduduk, Kawasan Rukun Tetangga dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK),” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga mempunyai rekod lengkap berhubung perbelanjaan berkenaan termasuk laporan kewangan dan akuan penerimaan daripada penerima.

“Kalau kita tidak gunakan, 10 Julai selesai masalah, kita sudah pulangkan pun. Tetapi dalam keadaan sekarang, kita sudah belanjakan ataupun sudah diagihkan, sudah diberikan kepada rakyat macam mana kita mahu ambil balik?” katanya.

Dalam pada itu, Arul Kumar berkata, beliau akan bertemu Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim selepas menerima surat berhubung arahan tersebut bagi mendapatkan penjelasan serta berharap kerajaan negeri mempertimbangkan semula kaedah pengiraan pemulangan berkenaan.

“Kita patuh. Kalau kita tidak patuh, itu lain cerita. Tetapi kita patuh dan apabila kita sudah beri kepada rakyat, sekarang minta balik duit itu, memang sukar untuk kita ambil semula,” katanya.

Semalam, media melaporkan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan ADUN PH daripada kerajaan terdahulu diminta memulangkan semula peruntukan yang diterima selepas DUN dibubarkan pada 5 Jun lalu.-UTUSAN

The post ADUN PH sudah pulangkan baki peruntukan sebelum 10 Julai appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved