
ROMPIN – “Hanya di Pahang ada rumah begini yang dijual pada harga RM150,000,” kata seorang pembeli rumah PR1MA Muhamad Ubaidy Ashari,45.
Dia yang bekerja dalam industri logistik berkata, dengan keadaan kos sara hidup yang meningkat pada masa ini sememangnya sukar baginya untuk membeli rumah yang kebanyakannya berharga lebih RM200,000.
“Saya yang kerja berulang alik ke Selangor ada juga melihat projek perumah di sana tetapi harganya memang saya tidak mampu beli.
“Alhamdulillah di Pahang masih ada harga rumah yang amat berpatutan, dapatlah saya dan isteri memiliki rumah sendiri,”katanya yang sebelum ini tinggal menyewa di Felda Keratong 10 di sini.
Anak peneroka dan isterinya, Norsuzyla Mashuri,44, serta empat orang anak mereka bakal berpindah ke rumah tersebut dalam masa terdekat ini.
“Terima kasih kerana mewujudkan skim rumah ini dan semoga ia dapat diteruskan lagi untuk anak cucu kami pula,”katanya.
Dalam pada itu, seorang guru Orang Asli Rossyatka Teor Bak Song ,27, berkata, dia dan suaminya berasa amat bertuah kerana dapat membeli rumah PR1MA Pahang dan berhasrat untuk menetap di sini.
Dia yang berasal dari Kampung Runchang di sini berkata, pada masa ini dia menyewa sebuah rumah di Endau, Johor selepas ditugaskan mengajar ke sebuah sekolah di situ.
“Selepas ini saya berharap dapat balik dan mengajar di kampung saya untuk mendidik anak-anak bangsa dan seterusnya tinggal di rumah ini,”katanya.
Dia berharap lebih ramai masyarakat Orang Asli berpeluang membeli rumah daripada skim ini bagi memberikan mereka kemudahan tempat tinggal yang selesa.
Sementara itu seorang mekanik, Mazulizam Md Ali Hanapiah,41, berkata, dia bersyukur kerana kini dapat mendiami rumah sendiri yang lebih selesa bersama isteri dan dua orang anak.
Dia yang sebelum ini menumpang di rumah ibunya bersama adik beradik lain, tidak sabar lagi untuk berpindah ke rumah baru itu.
“Alhamdulillah saya memang tidak sangka akan dapat mendiami rumah sendiri, terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE
The post Hanya di Pahang dapat rumah selesa, harga amat berpatutan appeared first on Kosmo Digital.




