
PETALING JAYA: Hanya lima kawasan di seluruh negara masih merekodkan kualiti udara pada tahap sihat setakat pukul 4 petang ini.
Lima kawasan berkenaan ialah Minden, Alor Setar, Kangar, Balik Pulau dan Langkawi.
Selain itu, sebanyak 30 stesen merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap sederhana, manakala 31 stesen lagi mencatat bacaan tidak sihat.
Turut mencatat bacaan tinggi ialah Samarahan dengan IPU 186, Kuching (183) dan Sarikei (174), yang kesemuanya berada pada tahap tidak sihat.
Serian, Sarawak masih merekodkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat, dengan IPU 213.
Sebelum ini, jurucakap Kerajaan Madani, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, Malaysia sedia menggerakkan aset dan kepakaran negara bagi membantu Indonesia menangani kebakaran hutan di Kalimantan yang kini menjadi punca kepada masalah jerebu rentas sempadan.
Menurut beliau, senarai aset yang berpotensi digunakan telah disediakan dan disampaikan kepada negara jiran itu melalui saluran diplomatik.
Beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, perkara itu dimaklumkan kepada Jemaah Menteri oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Kementerian Luar. – UTUSAN
The post Hanya lima kawasan masih catat IPU sihat appeared first on Utusan Malaysia.






