
KUALA LUMPUR: Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) tetap akan berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Sarawak seperti yang dirancang walaupun negeri itu kini berdepan jerebu.
Pengerusi Jawatankuasa Penganjur AIM25, Rosmin Hashim berkata, pihaknya berharap bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) negeri itu akan bertambah baik menjelang malam kemuncak anugerah berprestij itu pada 26 September ini.
“Berkenaan jerebu, kami berdoa agar debu itu akan hilang ketika AIM25 berlangsung nanti.
“Selebihnya, kita lihat nanti bagaimana,” katanya ketika ditemui selepas sidang media kedua AIM25 di Royale Chulan Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Rosmin berkata demikian ketika mengulas keadaan IPU di Kuching yang mencecah bacaan tertinggi iaitu 261 diikuti tiga kawasan lain iaitu Serian, Sri Aman dan Samarahan, semalam.
Sementara itu, sempena sambutan Jubli Perak AIM, Rosmin berkata, persembahan pada malam kemuncak AIM25 disusun rapi bagi menampilkan perjalanan kepelbagaian genre 25 tahun muzik Malaysia.
“AIM25 akan menampilkan pelbagai genre muzik termasuk pop, rock, balada dan lain-lain.
“Kami juga teruja untuk membawa AIM ke Sarawak buat pertama kali, di samping meraikan kepelbagaian bakat dan muzik Malaysia yang diwakili barisan finalis tahun ini,” katanya.
Malam kemuncak AIM25 turut dimeriahkan dengan persembahan barisan artis popular antaranya Datuk Seri Siti Nurhaliza, Adira Suhaimi, Anggrek, Akim Ahmad, Hafiz Suip, Hael Husaini serta penyanyi Indonesia, Fajar Noor.
Selain itu, persembahan daripada calon kategori Artis Baharu Terbaik yang terdiri daripada Rezza Shah, Ary Hussin, Qal-G dan Yusuf Kassim turut menjadi antara tarikan pada malam berkenaan.
Menambahkan kemeriahan acara, AIM25 turut menampilkan barisan penyampai anugerah terdiri daripada Amir Jahari, Aina Abdul, Wany Hasrita, Kaka Azraff, Noraniza Idris, Yonnyboii, Iman Troye dan Lah Ahmad.
AIM25 edisi Jubli Perak akan berlangsung di BCCK, Sarawak pada Sabtu, 26 September 2026.
Majlis berprestij itu bakal dikendalikan pasangan selebriti Awal Ashaari dan Scha Alyahya bersama personaliti TVS, Sheera Abang Mansur.
AIM25 akan disi arkan secara langsung ke seluruh negara menerusi TVS di Saluran 122 dan TVS Inspire. -UTUSAN
The post Jerebu: AIM25 tetap diteruskan di Sarawak appeared first on Utusan Malaysia.






