
PETALING JAYA – Sekolah di daerah Bangsar dan Pudu masih ditutup susulan jerebu, manakala institusi pendidikan di Putrajaya, Perak, Melaka serta daerah Sentul dan Keramat di Kuala Lumpur akan beroperasi seperti biasa mulai esok.
Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) memaklumkan, penutupan sekolah di Bangsar/Pudu diteruskan berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Stesen Cheras masih tidak sihat pada paras 152 setakat pukul 2 petang semalam.
Sehubungan itu, Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) serta arahan Bekerja dari Rumah (BDR) bagi guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) di kawasan berkenaan diteruskan sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.
Bagaimanapun, sekolah di Sentul dan Keramat dibuka semula selepas bacaan IPU di Stesen Batu Muda mencatatkan paras sederhana, iaitu 84.
Sementara itu, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya mengesahkan semua sekolah di wilayah berkenaan beroperasi seperti biasa selepas bacaan IPU menurun kepada 70 setakat pukul 2 petang semalam.
Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak turut mengesahkan semua institusi pendidikan di negeri itu beroperasi seperti biasa selepas bacaan IPU di semua stesen pemantauan berada di bawah paras 150.
Di Melaka, semua institusi pendidikan juga dibuka semula mulai esok berdasarkan perkembangan terkini kualiti udara dan pengesahan rasmi pihak berkuasa.
Pihak jabatan pendidikan di semua kawasan terlibat akan terus memantau bacaan IPU dari semasa ke semasa dan memaklumkan sebarang perubahan status operasi melalui saluran rasmi.
Ibu bapa dan penjaga turut dinasihatkan supaya memantau tahap kesihatan anak-anak serta mengambil langkah berjaga-jaga, khususnya bagi murid yang berisiko tinggi atau mempunyai masalah kesihatan.- KOSMO! ONLINE
The post Hanya sekolah di Bangsar, Pudu ditutup, negeri lain dibuka esok appeared first on Kosmo Online.





