SHAH ALAM - Kenaikan gaji minimum baharu RM2,000 secara umumnya langkah yang realistik dan wajar dilaksanakan, khususnya apabila mengambil kira peningkatan kos sara hidup serta keperluan memastikan pendapatan pekerja seiring keadaan ekonomi semasa.
Penganalisis Ekonomi dari UniKL Business School, Profesor Madya Dr Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, sisi positifnya boleh dilihat dari segi kiraan Perbelanjaan Asas Kehidupan Wajar (PAKW) bagi kategori bujang di Kuala Lumpur misalnya memerlukan sekitar RM2,700 untuk hidup selesa manakala golongan berkeluarga RM4,700 yang bermaksud paras gaji RM1,700 tidak lagi relevan.
Beliau tidak menafikan paras minimum RM2,000 juga masih di bawah PAKW, namun ia sedikit sebanyak mengurangkan jurang pendapatan dan pekerja tidak perlu merasa terpaksa melakukan dua hingga tiga jenis pekerjaan.
"Selain itu, pekerja bergaji bawah RM3,000 cenderung membelanjakan sebahagian besar pendapatan di kedai runcit, pasar malam dan perkhidmatan dalam talian. Setiap RM1 kenaikan gaji minimum, 80 sen kembali kepada ekonomi tempatan. Inilah yang membantu peniaga sebenarnya.
"Kenaikan gaji minimum membantu mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing. Apabila gaji RM1,700 sahaja, anak muda tempatan tak nak kerja bidang kotor, bahaya dan sukar (3D). Kalau naik ke RM2,000 dicampur kerja lebih masa (OT), mereka jadi semakin bersemangat dan pendapatannya setara penunggang 'p-hailing'.
"Pelaksanaan ini juga memaksa syarikat meningkatkan produktiviti. Negara yang gaji minimumnya naik secara teratur seperti Korea Selatan dan Taiwan, produktiviti meningkat dua kali ganda kerana organisasi melaksanakan automasi serta menyediakan latihan buat pekerja," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Mengulas dari sudut kontra pula, penganalisis itu berpendapat bahawa kenaikan gaji minimum berupaya melebarkan jurang pendapatan antara wilayah misalnya RM2,000 di Kuala Lumpur masih belum mencukupi tetapi sebaliknya untuk Gua Musang, Bintulu atau Kuala Nerang.
Bagaimanapun, jelasnya, peniaga luar bandar menjadi lebih tertekan jika kenaikan diselaraskan pada satu amaun sahaja di seluruh negara.
Aimi Zulhazmi tidak menolak kebimbangan bahawa migrasi belia luar bandar ke Kuala Lumpur yang sudah laju menjadi semakin laju disebabkan perkara itu.
"Lihat juga dari sudut pertambahan inflasi makanan dan perkhidmatan kira-kira 0.4 hingga 0.6 peratus dalam tempoh enam bulan selepas pelaksanaan.
"Rakyat dapat gaji lebih, belanja pun lebih juga. Sektor yang menggunakan kos buruh lebih 35 peratus seperti perkhidmatan restoran, dobi, taska dan gunting rambut akan memindahkan kos.
"Selain itu, risiko 30,000 hingga 50,000 pekerjaan terjejas terutama belia yang baharu bekerja. Kajian Bank Negara Malaysia (BNM) 2023 mendedahkan, setiap 10 peratus kenaikan gaji minimum, peluang pekerjaan formal sektor rendah dan mahir turun sekitar dua peratus," ujarnya lagi.






