
Kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Rozabil Abd. Rahman bahawa UMNO Perlis akan bertanding semua 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan tiga Parlimen dalam Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) adalah bertepatan dengan realiti politik di negeri ini.
Kehendak akar umbi untuk UMNO Perlis bergerak solo itu ada asasnya memandangkan jika parti tersebut bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN), ia bakal mengundang masalah ketika agihan kerusi kelak.
Persoalan lebih besar, berapa kerusikah boleh diberi laluan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang kalah semua kerusi dalam pilihan raya lalu jika kerjasama tersebut terjalin.
Jika hanya bergantung kepada apa yang berbaki daripada kerusi dimenangi oleh Pas hanya tinggal lima kerusi yang diwakili oleh Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan PKR. Perlu diingat, Parti Wawasan Negara (Wawasan) yang juga merupakan komponen dalam PN sudah pastinya mengintai bertanding di kerusi Bersatu.
Akar umbi UMNO ketika ini cukup bersemangat bekerja bagi memastikan parti itu kembali menawan Perlis dalam PRU16 dan sudah tentu mereka tidak rela jika melihat UMNO dan BN sekadar bertanding tiga atau empat kerusi.
Dalam konteks politik Perlis, semua kerusi DUN dan tiga Parlimen kecuali Indera Kayangan dikuasai oleh parti politik Melayu Islam dengan keperluan ke arah penyatuan ummah itu dilihat tidaklah terlalu mendesak.
Siapa sahaja menang di Perlis sama ada UMNO atau Pas terutamanya tetap dikuasai oleh parti politik Melayu Islam.
Adalah lebih baik BN dan PN masing-masing bertanding solo yang sekurang-kurangnya memberi pilihan lebih luas kepada pengundi untuk memilih wakil rakyat terbaik dengan hakikatnya mereka semua tetap Melayu Islam.
Selepas pilihan raya, bergabunglah BN dan PN sekiranya mana-mana parti itu tidak mempunyai majoriti mudah membentuk kerajaan.
Memang mudah untuk bercakap soal kerjasama antara BN dan PN atas nama penyatuan ummah namun adakah Pas khususnya yang menguasai sebahagian besar kerusi DUN dalam pilihan raya lalu sedia berkorban kerusi.
Penyatuan ummah bukan hanya soal bertanding pilihan raya sebaliknya ia mempunyai ruang kerjasama lain yang lebih meluas demi kepentingan Melayu dan Islam.
Ia seperti kata Ketua UMNO Bahagian Kangar, Datuk Dr. Fathul Bari Mat Jahya ketika ditemui baru-baru ini.
“Apabila sebut pasal perpaduan, sememangnya kita semua cintakan perpaduan tapi bertanding bukan bererti berpecah sebaliknya ia bergantung kepada konteks serta naratif berkempen.
“Jika berkempen saling memburukkan, itulah perpecahan. Kalau saling berkempen membawa idea dan perancangan untuk pembangunan masa depan negeri Perlis, bagi saya, itu tidak ada masalah,” katanya.-UTUSAN.
The post UMNO-Pas bertembung di Perlis bukan tolak penyatuan ummah appeared first on Utusan Malaysia.






