
KLUANG – Masyarakat Orang Asli di Kahang berharap pelaksanaan Belanjawan 2026 dapat memberi manfaat yang terus dirasai diperingkat kampung, keluarga dan generasi muda.
Pembangunan yang akan dilaksanakan juga perlu secara inklusif dengan mengambil kira keperluan tanah, kemudahan asas, pendidikan, ekonomi, perumahan, kesihatan sosial, adat dan kelestarian kehidupan masyarakat Orang Asli.
Penyelaras Masyarakat Orang Asli Sembrong, Tok Batin Sari Achu berkata, harapan masyarakat Orang Asli dalam Belanjawan 2026 bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi pembangunan yang menjamin tanah, masa depan anak-anak, ekonomi keluarga, adat dan maruah masyarakat.
Katanya, pembangunan yang seimbang dan lestari perlulah melibatkan pembangunan ekonomi dan fizikal namun tidak mengabaikan kelestarian alam sekitar, sumber kehidupan tradisional dan kepentingan generasi akan datang.
Jelasnya, penyampaian bantuan yang telus terus kepada sasaran serta memperkukuh penyelarasan antara agensi kerajaan, kepimpinan masyarakat dan komuniti supaya program serta bantuan dapat dipantau dan disampaikan berdasarkan keperluan sebenar.
“Harapan masyarakat Orang Asli dalam Belanjawan 2026 bukan sekadar pembangunan fizikal, tetapi pembangunan yang menjamin tanah, masa depan anak-anak, ekonomi keluarga, adat dan maruah masyarakat.
“Kami mahu kemajuan sampai ke kampung, pada masa yang sama tanah adat, wilayah kehidupan dan identiti Orang Asli terus dipelihara,”katanya kepada Kosmo! hari ini. – KOSMO! ONLINE
The post Harap belanjawan beri manfaat terus kepada masyarakat Orang Asli appeared first on Kosmo Online.





