Status tanah adat Orang Asli perlu diiktiraf, diwartakan

LocalPolitics
17 Sep 2026 • 2:48 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

parti sosialis

PETALING JAYA: Status tanah adat Orang Asli perlu diiktiraf dan diwartakan dengan cara sah bagi mengelakkan pertikaian serta dirampas pihak ketiga.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) dalam kenyataan berkata, kegagalan pewartaan tanah sebagai Rizab Orang Asli merupakan kecuaian Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam melaksanakan tanggungjawab ‘fidusuari’.

Katanya, pihak kerajaan perlu memahami kedudukan masyarakat Orang Asli dan tidak sepatutnya menganggap komuniti tersebut sebagai ‘penceroboh’ hanya disebabkan tidak mempunyai hak milik berdaftar atas nama mereka.

“Keberadaan komuniti Orang Asli dan hak mereka ke atas tanah wilayah adat mereka sudah pasti diketahui dan direkodkan Jakoa serta jabatan-jabatan negeri.

“Pihak Suruhanjaya hak Asasi Manusia (Suhakam) dalam laporan ‘Report of the National Inquiry Into the Land Rights of Indigenous Peoples’, 2013 bahawa wujudnya kegagalan koordinasi diantara agensi kerajaan dalam mengenal pasti wilayah tanah adat Orang Asli yang belum atau dalam proses pewartaan.

“Maka tuntutan hak atas tanah wilayah adat ini kerap dianggap ‘tidak wujud’ bagi Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) serta Jabatan Perhutanan kerana kegagalan Jakoa untuk melaksanakan tanggungjawabnya mengenalpasti dan mewartakan tanah ini,” katanya.

Semalam Ketua Polis Daerah Bera, Zulkiflee Nazir dilaporkan berkata, lima Orang Asli ditahan kerana didakwa menghalang pegawai penguat kuasa melakukan operasi di Hutan Simpan Pemuliharaan Tasik Bera (Ramsar) di Bera, Pahang.

Dalam pada itu, PSM turut mempertikai penahanan berkenaan yang disifatkan hanya demi mempertahankan tanah adat daripada dicerobohi oleh pihak luar

Hakikatnya, kawasan yang disasarkan oleh pihak penguatkuasa adalah sebahagian daripada wilayah adat masyarakat Semelai yang telah menetap dan bergantung pada hasil tanah di kawasan tersebut sejak turun-temurun.

“Kawasan tersebut merupakan tanah adat mereka. Penguatkuasa kerajaan haruslah memahami status warga Orang Asli dan kegagalan agensi-agensi kerajaan untuk menandakan dan mengiktiraf tanah wilayah adat Orang Asli,” jelasnya.-UTUSAN

The post Status tanah adat Orang Asli perlu diiktiraf, diwartakan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved