
SEREMBAN – Penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ampangan mahu pemimpin yang dipilih pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini menterjemahkan janji mereka dengan melaksanakan kerja sebaik mungkin demi kesejahteraan mereka.
Rata-rata yang ditemui melahirkan harapan agar nasib mereka terus dibela dengan memberikan apa yang terbaik termasuk menunaikan janji-janji yang dibuat semasa berkempen.
Seorang peniaga ikan, Muhammad Harun, 36, berkata, banyak transformasi telah dilakukan oleh pentadbiran sebelum ini dan salah satunya pembangunan Pasar Ampangan daripada pasar lama kepada kompleks lebih moden demi keselesaan pengunjung.
“Ini merupakan salah satu usaha yang baik, selain terdapat banyak kemudahan fasiliti kesihatan, bank serta pasar raya yang sistematik.
“Namun, saya berharap pembangunan itu selari dengan perkembangan ekonomi bagi membolehkan peniaga seperti saya mendapat manfaat secara tidak langsung,” katanya ketika ditemui di Pasar Ampangan di sini semalam.
Seorang penduduk Md. Nor Abu Bakar, 60, berkata, beliau mahu pemimpin yang memenangi pilihan raya melaksanakan janji dan tanggungjawab kepada rakyat di kawasan tersebut.
“Rakyat telah melaksanakan tanggungjawab dengan mengundi calon terlibat, jadi seharusnya pemimpin dipilih perlu menterjemahkan janji-janji mereka sebaik mungkin, bukan sekadar cakap-cakap kosong.
“Golongan belia di kawasan DUN Ampangan pula mahukan peluang pekerjaan, selain kemudahan dewan serbaguna untuk kemudahan aktiviti komuniti masyarakat di sini.
“Diharap pemimpin yang dipilih tidak lupa tanggungjawab untuk menjaga kebajikan pengundi yang memilih mereka dengan bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh demi kesejahteraan bersama,” katanya.






