amree31/07/2026 - 12:20 Gambar hiasan kredit FGV Holdings Berhad Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 31 Julai — Industri perladangan terus berdepan tekanan daripada harga baja yang masih mahal meskipun harga minyak sawit mentah (MSM) kekal kukuh, menurut analisis MBSB Research.
Kata firma tersebut, peningkatan harga komoditi itu susulan kebimbangan terhadap kesan fenomena El Nino, namun dijangka dapat terus menyokong prestasi syarikat-syarikat perladangan pada tahun ini.
Keputusan kewangan suku kedua 2026 bagi kebanyakan syarikat di bawah liputannya dijangka menepati jangkaan walaupun sebahagian pengeluar melaporkan penuaian tandan buah segar (FFB) lebih rendah.
"Kami mengekalkan pendirian 'positif' dengan andaian purata harga MSM tahun ini berlegar RM4,300 satu tan, disokong kekhuatiran gangguan bekalan global disebabkan El Nino," jelas MBSB Research.
Ujarnya, harga purata MSM sepanjang 2Q26 mencecah RM4,519 satu tan, dan dijangka dapat membantu sektor itu mengimbangi kesan penurunan pengeluaran dan kos operasi yang masih tinggi di ladang.
Berdasarkan data Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), pengeluaran FFB naik kepada 2.4 juta tan, namun masih susut hampir 10% berbanding tahun lalu, meskipun prestasi syarikat adalah lebih baik.

Pengeluaran MSM pula jelas MBSB Research, berjumlah 4.8 juta tan pada suku itu, meningkat daripada suku pertama tetapi masih rendah berbanding tahun sebelumnya berikutan faktor usia pokok sawit.
"Margin keuntungan segmen huluan masih tertekan kerana kos pengeluaran dijangka kekal RM2,600 satu tan, memandangkan harga baja masih lebih tinggi berbanding paras suku kedua tahun lalu," katanya.
Firma itu menambah, harga baja utama seperti urea dan potash terus naik berbanding tahun lalu, sekali gus memberi tekanan kepada kos operasi jika syarikat tidak menangguhkan jadual pembajaan.
Bagi syarikat hiliran, cabaran datang daripada kos pengangkutan dan insurans yang tinggi berikutan ketegangan geopolitik di laluan perdagangan antarabangsa, serta memberi tekanan kepada margin.
Secara keseluruhannya, MBSB Research berpandangan sektor perladangan masih mempunyai prospek yang positif dalam jangka pendek, disokong harga MSM yang kukuh dan potensi gangguan bekalan global.
Bagaimanapun, prestasi syarikat akan terus dipengaruhi oleh perkembangan kos input, tahap pengeluaran buah sawit serta keadaan cuaca pada tempoh separuh kedua tahun ini. - DagangNews.com






