Harga barang naik, hutang isi rumah terus tekan kuasa beli rakyat Malaysia pada 2027 - BMI

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 10:37 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga barang naik, hutang isi rumah terus tekan kuasa beli rakyat Malaysia pada 2027 - BMI Image from: Harga barang naik, hutang isi rumah terus tekan kuasa beli rakyat Malaysia pada 2027 - BMI sarah17/11/2026 - 10:37 Gambar hiasan Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 17 Nov - Rakyat Malaysia dijangka berdepan tekanan perbelanjaan yang lebih mencabar pada 2027 apabila kenaikan harga barangan dan beban hutang isi rumah terus menjejaskan kuasa beli, menurut BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions.

 

BMI dalam laporan 'Asia Consumer Watch: Malaysian Households Face Price Pressures As Growth Slows' berkata, pihaknya menaikkan unjuran inflasi Malaysia bagi 2027 kepada 2.0% daripada 1.8% sebelum ini, sekali gus menunjukkan tekanan kos sara hidup dijangka berterusan walaupun kadar inflasi masih terkawal.

 

Menurut firma penyelidikan itu, paras harga yang kekal tinggi berbanding tempoh sebelum pandemik COVID-19 akan terus mengehadkan kemampuan isi rumah untuk meningkatkan perbelanjaan, khususnya bagi barangan dan perkhidmatan bukan keperluan.

 

Tekanan tersebut dijangka bertambah akibat tahap hutang isi rumah yang tinggi serta komitmen pembayaran balik pinjaman, manakala pengguna mungkin tidak mendapat banyak kelegaan daripada kos pembiayaan dalam tempoh terdekat.

 

Kadar OPR dijangka kekal 2.75% hingga awal 2027

BMI menjangkakan Bank Negara Malaysia (BNM) mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75% sehingga suku pertama 2027, sekali gus mengehadkan kemungkinan pengurangan kos pinjaman yang dapat membantu meringankan beban kewangan isi rumah.

 

Bagaimanapun, firma itu menjangkakan perbelanjaan isi rumah Malaysia kekal berdaya tahan, dengan pertumbuhan perbelanjaan sebenar hanya menyederhana sedikit kepada 4.07% pada 2027 berbanding 4.08% yang diunjurkan bagi 2026.

 

Pertumbuhan ekonomi dijangka perlahan kepada 5.2%

Dalam perkembangan berkaitan, BMI mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar Malaysia menyederhana kepada 5.2% pada suku ketiga 2026 berbanding 6.0% pada suku kedua, berdasarkan petunjuk ekonomi yang menunjukkan prestasi bercampur-campur.

 

Firma itu berkata, pertumbuhan jualan runcit perlahan kepada 3.8% pada Ogos daripada 4.2% pada Jun, walaupun pertumbuhan eksport meningkat kepada 54.5% pada September berbanding 45.5% pada Jun.

 

Dari segi inflasi, BMI menjangkakan kadar inflasi keseluruhan menghampiri 2.0% pada Oktober berikutan kenaikan harga makanan dan kos berkaitan perumahan, selepas kadar tersebut berkurangan sedikit kepada 1.8% pada September daripada 1.9% pada Ogos.

 

Secara keseluruhan, BMI berpandangan pengguna Malaysia akan terus berbelanja pada 2027, namun kenaikan harga, komitmen hutang dan ruang terhad untuk pengurangan kadar faedah dijangka mengehadkan pertumbuhan perbelanjaan, terutama bagi pembelian bukan keperluan.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved