Harga minyak sawit berpotensi cecah RM5,000 satu tan pada awal 2027 - BIMB Securities

LocalBusiness & Finance
11 Nov 2026 • 9:01 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga minyak sawit berpotensi cecah RM5,000 satu tan pada awal 2027 - BIMB Securities Image from: Harga minyak sawit berpotensi cecah RM5,000 satu tan pada awal 2027 - BIMB Securities sarah11/11/2026 - 09:01 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 11 Nov - Harga minyak sawit mentah (MSM) berpotensi meningkat sehingga RM5,000 satu tan pada separuh pertama 2027, dengan stok minyak sawit Malaysia melonjak ke paras tertinggi dalam rekod sebanyak 3.62 juta tan pada Oktober 2026, menurut BIMB Securities Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, peningkatan harga dijangka disokong oleh pengeluaran yang lebih rendah mengikut musim, permintaan menjelang sambutan Hari Raya serta pertumbuhan penggunaan biodiesel global, walaupun paras stok yang tinggi dijangka terus mengehadkan kenaikan harga dalam tempoh terdekat.

 

Menurut laporan tinjauan sektor perladangan bertarikh 11 November 2026, stok minyak sawit negara meningkat 3.2% berbanding September dan melonjak 44.4% berbanding tempoh sama tahun lalu, namun masih lebih rendah daripada anggaran pasaran sebanyak 3.76 juta tan.

 

"Paras stok yang tinggi dijangka terus memberi tekanan kepada harga MSM dalam tempoh terdekat. Bagaimanapun, menjelang 2027, pengeluaran yang lebih sederhana dan eksport yang berterusan dijangka membantu menstabilkan stok," menurut firma itu.

 

Eksport melonjak 55.7%, India dan EU pacu permintaan

Eksport minyak sawit Malaysia melonjak 55.7% kepada 1.71 juta tan pada Oktober, selepas mencatatkan penurunan selama dua bulan berturut-turut, didorong oleh peningkatan pembelian dari India menjelang Deepavali serta permintaan dari Kesatuan Eropah (EU).

 

Berdasarkan data Intertek, penghantaran ke India meningkat 146.4% kepada 556,800 tan, manakala eksport ke EU bertambah 49.8% kepada 290,100 tan. BIMB Securities berpandangan peningkatan pembelian dari EU berkemungkinan berkaitan persediaan menjelang pelaksanaan Peraturan Penyahhutanan EU (EUDR).

 

Sementara itu, pengeluaran MSM negara meningkat 1.7% kepada 2.15 juta tan pada Oktober, dengan Sabah menyumbang 89% daripada keseluruhan peningkatan pengeluaran apabila hasil negeri itu bertambah 7.2% kepada 490,500 tan.

 

Harga MSM dijangka kekal melebihi RM4,000

BIMB Securities berkata, harga purata MSM susut 4.5% kepada RM4,406 satu tan pada Oktober berbanding RM4,615 pada September, namun dijangka kekal melebihi RM4,000 satu tan sehingga akhir tahun ini. Firma itu mengekalkan unjuran harga purata RM4,400 satu tan bagi 2026 dan RM4,500 bagi 2027.

 

Firma itu turut menjangkakan permintaan biodiesel yang semakin kukuh serta kemungkinan gangguan pengeluaran akibat kesan cuaca kering berkaitan El Niño, khususnya di Indonesia, akan menyokong harga MSM pada tahun depan, walaupun peningkatan kos baja dan gaji kekal sebagai risiko kepada keuntungan syarikat perladangan.

 

Sehubungan itu, BIMB Securities mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor perladangan dengan Hap Seng Plantations sebagai pilihan utama pada harga sasaran RM3.00 sesaham, manakala SD Guthrie menjadi pilihan dalam kalangan syarikat bermodal besar dengan harga sasaran RM7.50 sesaham.- DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved