sarah17/11/2026 - 17:59 Gambar kredit China Press Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - TWL Holdings Bhd bercadang membeli bangunan pejabat sembilan tingkat, Wisma TWL di Jalan Melaka, Kuala Lumpur, bernilai RM26 juta daripada TWL Capital Bhd, sebuah syarikat yang dimiliki oleh pengerusi eksekutifnya, Datuk Tan Wei Lian bersama Datin Sek Chian Nee.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, anak syarikat milik penuh TWL Holdings, TWL Builders Sdn Bhd, telah menandatangani perjanjian jual beli dengan TWL Capital pada 16 November 2026 bagi mengambil alih bangunan berkenaan yang turut mempunyai dua tingkat ruang bawah tanah.
Urus niaga itu dikategorikan sebagai transaksi pihak berkaitan kerana Wei Lian memiliki 55% kepentingan dalam TWL Capital, manakala Chian Nee memegang baki 45%, dengan kedua-duanya turut merupakan pemegang saham utama TWL Holdings.
TWL Capital sebelum ini memperoleh hartanah berkenaan pada 30 Oktober 2023 dengan kos pelaburan asal RM21.30 juta, manakala nilai buku bersihnya setakat 31 Disember 2025 adalah sebanyak RM20.80 juta.
Pembelian dibiayai dana dalaman
TWL Holdings berkata, harga pembelian RM26 juta ditentukan berdasarkan persetujuan pembeli dan penjual serta disokong penilaian bebas oleh Laurelcap (Sel) Sdn Bhd bertarikh 21 Mei 2026, yang turut meletakkan nilai pasaran hartanah itu pada jumlah sama.
Syarikat akan membiayai keseluruhan pembelian menggunakan dana dalaman, dengan bayaran deposit RM2.6 juta atau 10% daripada harga pembelian, manakala baki RM23.4 juta perlu dijelaskan dalam tempoh penyempurnaan transaksi.
Menurut TWL Holdings, pengambilalihan itu bertujuan menyusun semula pemilikan aset kumpulan, mengurangkan kebergantungan terhadap penyewaan serta memberikan fleksibiliti lebih besar dalam penggunaan bangunan bagi menyokong operasi perniagaan jangka panjang.
Tidak memerlukan kelulusan pemegang saham
Transaksi berkenaan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham atau pihak berkuasa kawal selia kerana nisbah peratusan tertinggi yang terpakai kepada pembelian itu adalah sebanyak 4.24%, berdasarkan penyata kewangan beraudit terkini kumpulan.
Lembaga pengarah TWL Holdings, kecuali Wei Lian yang mempunyai kepentingan dalam transaksi itu, serta jawatankuasa audit syarikat berpandangan pembelian berkenaan adalah adil, munasabah dan demi kepentingan syarikat serta tidak menjejaskan pemegang saham yang tidak berkepentingan.
Pengambilalihan itu dijangka diselesaikan dalam tempoh 180 hari daripada tarikh perjanjian, dengan lanjutan automatik selama 30 hari jika diperlukan, dan tidak dijangka memberi kesan ketara terhadap pendapatan sesaham, aset bersih sesaham atau tahap hutang kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2027.- DagangNews.com





