
WASHINGTON: Perdebatan mengenai harga burrito kini mencetuskan perbalahan dalam Parti Republikan pimpinan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang bimbang isu kos sara hidup tinggi akan menyebabkan mereka dihukum pengundi dalam pilihan raya pertengahan penggal November.
Hidangan Mexico itu yang terdiri daripada nasi, kacang, daging dan pelbagai bahan lain yang dibalut dengan tortilla digemari ramai rakyat Amerika sebagai makanan yang mengenyangkan, mudah dan murah.
Namun, kini tidak lagi, menurut jurucakap pertubuhan belia konservatif Turning Point USA, Andrew Kolvet.
“Seorang pelajar TPUSA memberi pandangannya mengenai kemampuan membeli barang. Burrito tak sepatutnya berharga AS$20 (RM81).
“Ya, sebahagian besarnya berpunca daripada kesan pandemik Covid-19 dan inflasi era Biden, tetapi pengalaman yang dirasai rakyat tetap sama. Barang keperluan asas terasa terlalu mahal,” kata Kolvet dalam hantaran X yang tular minggu ini.
Kenyataan itu mencetuskan apa yang disifatkan saluran televisyen kegemaran golongan Republikan, Fox News, sebagai ‘perang saudara’ dalam parti berkenaan.
Sesetengah golongan konservatif mempersoalkan harga yang disebut itu dan menuduh golongan muda di AS mempunyai cita rasa yang mahal, manakala yang lain mempertahankan mereka serta memberi amaran mengenai kesan politiknya.
“Berhenti merungut, cari kerja dan makan mi ramen seperti kami yang lain ketika di kolej, dengan bajet terhad dan tinggal bersama empat rakan serumah. Pasaran tidak peduli apa yang anda fikir sesuatu ‘sepatutnya’ berharga sedemikian,” tulis anggota Kongres Republikan dari Texas, Dan Crenshaw di X.
Di Washington, harga burrito untuk dibawa pulang di dua rangkaian makanan segera popular adalah antara AS$6.50 hingga AS$13.50 (RM26.58 hingga RM55.25), bergantung kepada bahan yang dipilih.
Bekas penasihat kepada Presiden George W. Bush, Marc Thiessen yang kini menjadi kolumnis, turut mengkritik golongan pelajar di platform sama kerana dianggap malas dan sanggup membayar harga makanan lebih tinggi melalui perkhidmatan penghantaran.
“Ketika saya tamat pengajian, saya hidup dengan mi ramen. Saya tidak merungut mengenai kos sara hidup. Saya bekerja keras supaya suatu hari nanti mampu menjalani kehidupan yang lebih baik,” tulisnya.
Kenyataan itu mendapat kecaman tajam daripada Naib Presiden JD Vance, yang menyifatkannya sukar dipercayai.
“Jika anda pernah bertemu dengannya secara bersemuka, jelas sekali lelaki itu tidak pernah terlepas daripada makan burrito,” merujuk kepada bentuk fizikal kolumnis berkenaan.
Beberapa tokoh konservatif lain turut berkata, memperlekeh kebimbangan pengguna mengenai harga adalah tindak balas yang sama sekali salah dan boleh memberi kesan politik.
“Jika ‘penyelesaian’ pihak kanan terhadap krisis kemampuan membeli barang ialah menyuruh orang makan makanan yang lebih murah dan kurang baik, kita akan kalah (pada November), dan kita memang layak kalah,” tulis jurucakap Institut Pertahanan Kebebasan yang berhaluan kanan, Angela Morabito di X.
Sementara itu, Trump pada Khamis sekali lagi mendakwa inflasi di AS telah menurun, sambil menafikan dasar tarifnya memberi kesan terhadap harga.
Inflasi melonjak ke paras tertinggi dalam tempoh tiga tahun iaitu 4.2 peratus pada Mei sebelum susut kepada 3.5 peratus pada Jun apabila harga tenaga menurun, menurut data kerajaan persekutuan.
Namun, ketidaktentuan berhubung perang dengan Iran yang menyebabkan harga petrol melonjak terus membimbangkan pengguna.
Tinjauan pendapat terbaharu Universiti Marquette menunjukkan kos sara hidup menjadi kebimbangan utama bagi 35 peratus responden, jauh mengatasi isu perang di Iran.-AFP
The post Harga burrito cetus ‘perang saudara’ dalam kem Trump appeared first on Utusan Malaysia.






