
PETALING JAYA: Harga minyak mentah merosot lebih AS$5 (RM20.47) dalam dagangan Asia apabila pelabur mengurangkan premium risiko geopolitik selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump membatalkan rancangan untuk melancarkan serangan ke atas Iran.
Sehingga lewat petang semalam, minyak mentah Brent susut 5.83 peratus kepada AS$82.80 (RM339.08) setong, manakala penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) jatuh 6.57 peratus kepada AS$79.11 (RM323.97) setong.
Pada Ahad, Trump dalam hantaran di Truth Social memberitahu akan membatalkan rancangan serangan terhadap Iran selepas menerima permintaan daripada Tehran serta beberapa negara lain di Asia Barat.
Pakar Ekonomi Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, kejatuhan harga minyak itu mencerminkan perubahan sentimen pasaran apabila risiko gangguan bekalan dari rantau Asia Barat semakin berkurangan.
Katanya, sebelum ini pasaran telah meletakkan premium risiko geopolitik dalam harga minyak berikutan kebimbangan konflik akan menjejaskan laluan eksport utama termasuk Selat Hormuz.
“Apabila risiko tersebut reda, premium itu mula hilang dan harga kembali disesuaikan. Namun, saya melihat penurunan ini berpotensi berlanjutan dalam jangka sederhana sekiranya tiada konflik baharu yang mengganggu bekalan minyak dunia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, hala tuju harga minyak selepas ini bergantung kepada beberapa faktor termasuk tahap kestabilan geopolitik di Asia Barat, khususnya melibatkan Iran, Israel dan negara-negara Teluk.
Selain itu, katanya, keputusan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) berhubung dasar pengeluaran minyak, prestasi ekonomi AS, China dan Eropah, dasar kadar faedah Rizab Persekutuan (Fed) serta kekuatan dolar AS turut menjadi penentu utama.
“Selagi pertumbuhan ekonomi dunia berada pada tahap sederhana dan bekalan minyak kekal mencukupi, harga minyak dijangka bergerak dalam julat yang lebih stabil berbanding lonjakan mendadak sebelum ini.
“Harga minyak mentah Brent dijangka berada dalam julat AS$68 (RM278.47) hingga AS$78 (RM319.42) setong di bawah senario asas sehingga akhir tahun, manakala senario ekonomi global yang lebih kukuh boleh mendorong harga meningkat kepada AS$78 (RM319.42) hingga AS$88 (RM360.37) setong.
“Jika berlaku gangguan bekalan yang serius akibat konflik geopolitik, harga Brent berpotensi melepasi AS$90 (RM368.54) setong dan menghampiri AS$100 (RM409.49) setong. Namun buat masa ini, senario asas masih merupakan jangkaan yang paling munasabah,” jelasnya.
Dalam pada itu, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, harga Brent jatuh kira-kira empat peratus minggu ini berikutan pengurangan premium risiko geopolitik di Asia Barat.
Katanya, penurunan ini dijangka bersifat sementara dalam satu hingga dua bulan, dan hala tuju seterusnya akan ditentukan oleh keputusan OPEC+, permintaan China dan AS serta perkembangan geopolitik.
“Bagi baki 2026, saya menjangkakan Brent bergerak dalam julat AS$72 (RM294.83) hingga AS$88 (RM360.37) setong. Risiko utama untuk lonjakan semula adalah eskalasi konflik baharu, potongan bekalan mengejut oleh OPEC+, atau rangsangan ekonomi besar dari China.
“Pengurangan risiko geopolitik adalah positif untuk pasaran secara keseluruhan. Ia mengurangkan ketidaktentuan, menyokong sentimen pelabur ke aset berisiko seperti saham, dan membantu menstabilkan ringgit.
“Sektor yang dijangka mendapat manfaat daripada perkembangan ini adalah pengguna, penerbangan dan logistik. Sektor minyak dan gas pula mungkin alami pengambilan untung,” katanya. – UTUSAN
The post Harga minyak mentah turun mendadak ke paras AS$80 setong appeared first on Utusan Malaysia.





