hamden22/06/2026 - 18:50 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 22 Jun - Subsidi BUDI MADANI Diesel (BUDI Diesel) boleh diakses seawal pada 27 Jun ini kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, akses awal itu diperkenalkan sebagai persediaan pelaksanaan penuh pada 1 Julai 2026.
Seramai 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian akan menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad di bawah mekanisme BUDI Diesel di semua stesen minyak di Malaysia.
"Bagi penerima sedia ada BUDI Diesel Individu, bantuan tunai bulanan RM400 akan digantikan dengan subsidi diesel secara langsung melalui pengesahan MyKad di stesen minyak.
"Penerima sedia ada akan dipindahkan ke mekanisme baharu ini secara automatik tanpa perlu mengemukakan permohonan tambahan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, di bawah mekanisme ini, setiap individu yang layak akan menerima had kelayakan asas sehingga 200 liter sebulan.
Katanya, bagi pemilik persendirian kenderaan diesel jenis pikap dan jip yang layak, tambahan 100 liter sebulan boleh dipohon, menjadikan jumlah kelayakan sehingga 300 liter sebulan bagi kategori tersebut.
"Ini dijangka mencukupi kerana dianggarkan 95% pengguna diesel mengguna kurang daripada 300 liter sebulan. Kemudahan tambahan kelayakan ini disediakan untuk membantu keperluan tambahan terutamanya golongan peniaga PMKS dan juga mereka yang berulang-alik dari kawasan pedalaman," katanya.
Beliau menambah, selain pemilik kenderaan diesel persendirian, kemudahan BUDI Diesel untuk membeli diesel bersubsidi pada harga RM2.10 seliter melalui penggunaan MyKad turut dipanjangkan kepada golongan seperti pengusaha bot sungai dan pemilik genset di kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan bekerjasama erat dengan Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak untuk memastikan keterangkuman liputan diesel bersubsidi untuk rakyat.
Amir Hamzah berkata. pada masa yang sama, mekanisme subsidi diesel sedia ada bagi sektor strategik dan kritikal akan terus dikekalkan.
Ini termasuk:
• Diesel bersubsidi pada harga RM1.65 seliter bagi nelayan;
• BUDI Agri-Komoditi untuk petani kecil dan pemegang tanah komoditi berdaftar;
• SKDS 1.0 pada harga RM1.88 seliter bagi pengangkutan awam darat termasuk
bas sekolah dan bas ekspres.
Amir Hamzah berkata, dengan penyeragaman harga runcit diesel di seluruh negara serta pelaksanaan mekanisme subsidi baharu di bawah BUDI Diesel golongan bukan warganegara tidak lagi akan menikmati subsidi diesel, manakala penjimatan daripada pelaksanaan itu akan disalurkan semula kepada rakyat Malaysia yang layak.
Terdahulu beliau menghadiri taklimat media mengenai penyeragaman itu yang turut disertai Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali, serta wakil Kementerian Pengangkutan.
Amir Hamzah berkata pelaksanaan BUDI Diesel bertujuan menyelaraskan mekanisme subsidi di seluruh negara melalui sistem yang lebih seragam, telus dan mudah digunakan, dengan penggunaan MyKad sebagai kaedah pengesahan kelayakan subsidi bagi warganegara.
Pelaksanaan itu merupakan kesinambungan agenda penyasaran subsidi bagi mengurangkan ketirisan, penyalahgunaan serta aktiviti penyeludupan, di samping memastikan bantuan sampai kepada golongan yang benar-benar layak.
Di bawah mekanisme baharu itu, sistem BUDI Diesel akan disepadukan dengan BUDI MADANI RON95 (BUDI95) menggunakan MyKad sebagai alat pengesahan kelayakan, manakala kaedah pembayaran kekal seperti biasa termasuk tunai, kad debit, kad kredit dan e-dompet terpilih.
Selain itu, Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut diperluaskan ke Sabah dan Sarawak bagi membolehkan sekitar 70,000 kenderaan komersial yang layak menikmati diesel bersubsidi pada harga RM2.15 seliter menggunakan kad fleet syarikat minyak.
Pemilik kenderaan diesel persendirian boleh menyemak kelayakan subsidi serta memohon tambahan kuota melalui portal rasmi BUDI MADANI bermula hari ini, termasuk urusan secara fizikal di pejabat LHDN dan UTC. - DagangNews.com






