
PUTRAJAYA – Harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh 20 hingga 26 Ogos naik sebanyak RM20 sen iaitu daripada RM4.47 seliter kepada RM4.67 seliter.
Kementerian Kewangan berkata, sementara itu, RON95 naik sebanyak 15 sen daripada RM3.62 kepada kepada RM3.77 seliter.
Sementara itu, RON97 pula naik 10 sen daripada RM4.15 kepada RM4.25 seliter.
“Ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.
“Selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia.
“Setakat ini, Amerika Syarikat dan Iran masih belum mencapai kata sepakat mengenai penyelesaian konflik tersebut,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Sementara itu, konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia.
Kata Kementerian Kewangan, dalam tempoh pengiraan APM, Ukraine telah menyerang sebuah loji penapisan minyak di Rusia, yang merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar dunia.
“Selagi konflik di Asia Barat belum mencapai penyelesaian muktamad dan aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara.
“Ketidaktentuan yang berpanjangan juga berisiko memberi kesan lebih mendalam terhadap bekalan produk petroleum di seluruh dunia,” katanya.
Jelas kenyataan itu, kerajaan bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.
“Namun begitu, rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat.
“Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi,” katanya.
Melalui sistem subsidi bersasar yang disediakan, kerajaan terus melindungi pengguna yang layak daripada kenaikan harga pasaran.
“Bagi pengguna yang layak di bawah Budi Madani RON95, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter, sekitar 47 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi
semasa.
“Bagi pengguna yang layak di bawah Budi Madani Diesel pula, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.57 seliter, atau 55 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Harga diesel naik 20 sen, RON95 naik 15 sen appeared first on Kosmo Digital.






