Harga produk petroleum meningkat susulan kenaikan harga minyak mentah dunia

LocalBusiness & Finance
19 Aug 2026 • 5:45 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Harga produk petroleum meningkat susulan kenaikan harga minyak mentah dunia

PUTRAJAYA: Harga runcit produk petroleum tanpa subsidi meningkat bagi tempoh bermula esok hingga 26 Ogos depan, seiring dengan kenaikan harga minyak mentah dunia.

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), harga runcit RON97 meningkat sebanyak 10 sen seliter kepada RM4.25, RON95 tanpa subsidi meningkat 15 sen seliter (RM3.77) manakala diesel tanpa subsidi meningkat 20 sen seliter (RM4.67) berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM).

Jelasnya, ketidakstabilan geopolitik dunia yang berlarutan terus meningkatkan risiko terhadap harga dan bekalan minyak mentah dunia.

“Selepas 172 hari konflik antara Amerika Syarikat, Israel dan Iran, kekangan trafik di Selat Hormuz terus memberi kesan kepada bekalan minyak mentah dunia.

“Setakat ini, Amerika Syarikat dan Iran masih belum mencapai kata sepakat mengenai penyelesaian konflik tersebut. Sementara itu, konflik Rusia-Ukraine turut menambah tekanan terhadap bekalan petroleum dunia,” katanya hari ini.

MOF berkata, dalam tempoh pengiraan APM, Ukraine telah menyerang sebuah loji penapisan minyak di Rusia, yang merupakan pengeluar minyak ketiga terbesar dunia.

Jelasnya, selagi konflik di Asia Barat belum mencapai penyelesaian muktamad dan aliran petroleum melalui Selat Hormuz belum kembali normal, harga produk petroleum dijangka terus mengalami turun naik ketara.

Pada masa sama, katanya, ketidaktentuan yang berpanjangan juga berisiko memberi kesan lebih mendalam terhadap bekalan produk petroleum di seluruh dunia.

“Kerajaan Madani bertekad untuk melindungi rakyat dan perniagaan daripada tempias keruncingan global ini sebaik mungkin.

“Namun begitu, rakyat diseru agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Merancang perjalanan yang lebih cekap serta mengurangkan perjalanan yang tidak perlu dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap bekalan negara dan perbelanjaan subsidi,” katanya.

Melalui sistem subsidi bersasar yang disediakan, kerajaan terus melindungi pengguna yang layak daripada kenaikan harga pasaran.

Bagi pengguna yang layak di bawah Budi Madani RON95 (BUDI95), Kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.78 seliter, sekitar 47 peratus daripada harga RON95 tanpa subsidi  semasa.

Bagi pengguna yang layak di bawah Budi Madani Diesel (BUDI Diesel) pula, kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.57 seliter, atau 55 peratus daripada harga diesel tanpa subsidi. – UTUSAN

The post Harga produk petroleum meningkat susulan kenaikan harga minyak mentah dunia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved