
BANGI: Pengorbanan selama dua tahun menjalani latihan tanpa henti akhirnya membuahkan hasil buat atlet pencak silat Wilayah Persekutuan, Noor Wafadina Mohd Rasidi apabila berjaya meraih pingat emas dalam kategori puteri Kelas B bawah 55 kilogram (kg) pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Lebih manis, kejayaan itu hadir dalam penampilan sulung Wafadina di temasya dwitahunan berkenaan apabila dia menewaskan wakil Pulau Pinang, Nurul Nabila Natasya Wahab dengan keputusan 21-3 dalam aksi yang berlangsung di Dewan Seri Sarjana, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), hari ini.
Atlet berusia 17 tahun itu berkata, kejayaan tersebut cukup bermakna selepas dia melalui pelbagai cabaran sepanjang tempoh persiapan, termasuk terpaksa mengorbankan masa untuk pelajaran demi memberikan tumpuan kepada latihan.
“Perasaan saya berbaloi sebab pengorbanan saya selama ini. Dua tahun saya berlatih tanpa henti dan saya tidak pernah berputus asa.
“Saya menangis ketika latihan apabila tidak dapat melakukan apa yang diminta oleh jurulatih. Inilah emas saya dan terbalas segala jasa serta pengorbanan saya selama ini.
“Antaranya, pelajaran saya merudum malah ketika latihan saya selalu menangis kerana tidak dapat melakukan teknik yang diajar oleh cikgu,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, Wafadina bersyukur kerana ibu bapanya tidak pernah menghalang minatnya terhadap sukan berkenaan, malah sentiasa memberikan sokongan setiap kali dia menyertai pertandingan.
“Mak ayah saya sentiasa menyokong. Saya pergi pertandingan, termasuk ke Brunei, mereka turut datang. Mereka sentiasa berada di belakang saya. Terima kasih mak ayah dan keluarga saya. Saya sangat bersyukur,” katanya.
Mengulas mengenai perancangan masa depannya, Wafadina mengakui dia mahu memperlahankan karier sukannya bagi memberi laluan kepada peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang akan bermula pada 26 Oktober dan tamat pada 1 Disember ini. – UTUSAN
The post Dua tahun berkorban, Wafadina genggam emas SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.






