Harga getah naik: SMR 20 cecah 872 sen, lateks pukal 755 sen

LocalBusiness & Finance
6 May 2026 • 11:50 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Harga getah naik: SMR 20 cecah 872 sen, lateks pukal 755 sen Image from: Harga getah naik: SMR 20 cecah 872 sen, lateks pukal 755 sen johardy06/05/2026 - 11:50 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 6 Mei - Pasaran getah ditutup lebih tinggi pada Selasa dengan harga SMR 20 meningkat enam sen kepada 872 sen sekilogram, manakala lateks pukal melonjak lima sen kepada 755 sen sekilogram.

 

SMR 20 atau Standard Malaysian Rubber 20 ialah gred getah asli berbentuk blok yang telah diproses mengikut piawaian kualiti tertentu, khususnya dari segi kandungan kekotoran, kelembapan dan ciri teknikal lain, menjadikannya antara gred utama yang diniagakan dalam pasaran getah Malaysia serta penanda aras harga getah di peringkat antarabangsa.

 

Menurut seorang peniaga, kenaikan itu menjejaki prestasi positif dalam niaga hadapan getah serantau, walaupun berdepan ketiadaan pembeli utama dari China dan Jepun.

 

 

 

 

 

 

Bagaimanapun, kenaikan selanjutnya harga getah dihadkan oleh kelemahan harga minyak, data ekonomi AS yang bercampur-campur serta prospek ekonomi global yang lebih berhati-hati susulan ketegangan yang semakin memuncak di Asia Barat, yang terus membebani sentimen pasaran, kata peniaga itu.

 

Beliau berkata, sentimen pasaran turut disokong oleh ringgit yang lebih lemah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), sekali gus menjadikan komoditi itu lebih menarik kepada pelabur.

 

Pada sesi pagi hari ini, ringgit diniagakan sekitar paras 3.95 berbanding dolar AS, mencerminkan pergerakan yang hampir tidak berubah berbanding penutupan sebelumnya.

 

Sementara itu, penganalisis ekonomi, Wan Mohd Farid Wan Zakaria berkata prospek komoditi getah Malaysia kekal sederhana positif dalam jangka sederhana, disokong oleh jangkaan pemulihan permintaan industri tayar global serta gangguan bekalan di negara pengeluar utama akibat faktor cuaca dan kos pengeluaran yang meningkat.

 

 

 

 

 

 

 

Namun, beliau yang merupakan pensyarah Fakulti Pengurusan Perniagaan di UiTM berkata, harga getah masih akan berdepan turun naik ketara susulan ketidaktentuan ekonomi global, pergerakan harga minyak mentah serta prestasi ekonomi China sebagai pengguna terbesar getah asli dunia. - DagangNews.com

Terkini featured standard