sarah23/11/2026 - 09:59 Gambar hiasan. Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov - Harga kereta bukan nasional, khususnya model import, berisiko meningkat pada 2027 sekiranya kerajaan melaksanakan perubahan pengiraan cukai eksais berdasarkan nilai pasaran terbuka (OMV), menurut BIMB Securities Research (BIMB Research).
Firma penyelidikan itu berkata, ketidaktentuan mengenai pelaksanaan kaedah pengiraan cukai berkenaan merupakan antara tiga faktor dasar utama yang bakal mempengaruhi prospek industri automotif negara tahun depan, selain penyasaran subsidi RON95 dan insentif pemasangan kenderaan elektrik (EV) tempatan.
Menurut laporan sektor automotif bertarikh 23 November 2026, perubahan cukai eksais berdasarkan OMV berpotensi meningkatkan harga model bukan nasional, sekali gus menambah tekanan kepada pengedar yang sudah berdepan persaingan harga semakin sengit dan margin keuntungan yang mengecil.
Bagaimanapun, BIMB Research tidak memperincikan kadar kenaikan harga yang mungkin berlaku atau tarikh pelaksanaan kaedah pengiraan baharu itu, menjadikan kesan sebenar terhadap harga jualan kenderaan masih belum dapat dipastikan.
Jualan kereta dijangka perlahan pada 2027
BIMB Research menjangkakan jumlah jualan kenderaan Malaysia berada sekitar 800,000 hingga 820,000 unit pada 2027, lebih rendah berbanding unjuran 830,000 unit bagi tahun ini, susulan asas jualan yang tinggi serta tekanan persaingan dalam industri.
Firma itu mengekalkan unjuran jumlah keseluruhan industri (TIV) sebanyak 830,000 unit bagi 2026 selepas pendaftaran kenderaan meningkat 2.8% kepada 673,412 unit bagi tempoh Januari hingga Oktober, berbanding 655,327 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Pada Oktober sahaja, sebanyak 70,519 kenderaan didaftarkan, meningkat 1.3% berbanding September tetapi menyusut 7.2% berbanding Oktober 2025, mencerminkan permintaan yang masih berdaya tahan walaupun pertumbuhan semakin perlahan.
Menurut BIMB Research, jualan pada dua bulan terakhir tahun ini dijangka disokong promosi akhir tahun, tawaran rebat menarik dan penghantaran tempahan tertunggak bagi beberapa model, namun persaingan harga terus mengehadkan potensi peningkatan keuntungan syarikat automotif.

Proton e.MAS kuasai 61.3% pasaran EV
Dalam segmen EV, Proton e.MAS terus mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju pasaran dengan menguasai 61.3% bahagian pasaran pada Oktober, jauh mengatasi BYD yang mencatatkan 7.3%.
Model e.MAS 5 sahaja merekodkan 2,262 pendaftaran, bersamaan 49.3% daripada keseluruhan pasaran EV, manakala e.MAS 7 menyumbang 554 unit, sekali gus memperlihatkan peningkatan daya saing EV mampu milik yang dipasang dalam negara.
Bagaimanapun, keseluruhan pendaftaran EV merosot 23.8% kepada 4,592 unit pada Oktober, paras terendah sejak Februari, dengan kadar penembusan EV menurun kepada 6.1% daripada 8.1% pada September.
Kemerosotan itu sebahagian besarnya melibatkan EV import berharga premium apabila pendaftaran Tesla merosot 84.9% kepada 106 unit, BYD menyusut 45.9% dan Volvo jatuh 63.8%, ketika pasaran menyesuaikan diri dengan harga minimum import EV sebanyak RM200,000 berdasarkan nilai kos, insurans dan tambang (CIF) serta penamatan pengecualian cukai bagi EV import sepenuhnya.
Sebaliknya, pendaftaran kenderaan hibrid meningkat 79% berbanding tahun sebelumnya kepada 5,023 unit pada Oktober, mengatasi EV bateri sepenuhnya buat kali kedua tahun ini dan menunjukkan permintaan yang semakin tertumpu kepada pilihan kenderaan lebih mampu milik serta menjimatkan penggunaan bahan api.

Perodua bersedia untuk Myvi generasi baharu
Sementara itu, BIMB Research berpandangan penyusutan jualan Perodua sebanyak 4.6% kepada 276,042 unit bagi 10 bulan pertama 2026 tidak semestinya mencerminkan kelemahan permintaan, sebaliknya mungkin berkaitan penyusunan semula kapasiti pengeluaran menjelang pelancaran Myvi generasi baharu pada awal 2027.
Menurut firma itu, Perodua masih mempunyai kira-kira 40,000 tempahan tertunggak, bersamaan dua hingga lima bulan penghantaran, yang memberi petunjuk bahawa permintaan terhadap kenderaan jenama nasional berkenaan kekal kukuh.
Pada Oktober, Perodua mencatatkan 28,645 pendaftaran dengan penguasaan pasaran 38.2%, didahului Axia sebanyak 8,035 unit, Bezza sebanyak 7,714 unit dan Myvi sebanyak 4,229 unit, manakala jualan Ativa meningkat 35.7% berbanding September kepada 3,645 unit.
BIMB Research turut menjangkakan pengenalan Myvi baharu, model tambahan Proton dan e.MAS serta peningkatan permintaan kenderaan hibrid menjadi pemacu utama industri automotif pada 2027, ketika pertumbuhan keseluruhan jualan dijangka lebih sederhana.
BIMB kekalkan penarafan neutral sektor automotif
Dari segi dasar, Belanjawan 2027 turut mengekalkan sokongan terhadap pembangunan industri automotif tempatan menerusi elaun cukai pelaburan teknologi hijau sehingga 100% hingga 2030, potongan cukai sehingga RM5 juta bagi vendor milik penuh rakyat Malaysia yang berpindah ke Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) serta penyediaan 50 lokasi pengecasan baharu di lebuh raya.
BIMB Researchmengekalkan penarafan 'neutral' terhadap sektor automotif, namun menaikkan saranan Bermaz Auto kepada 'beli' dengan harga sasaran RM0.96, manakala Sime Darby dan MBM Resources dikekalkan pada 'pegang', masing-masing dengan harga sasaran RM2.60 dan RM5.28. Firma itu turut memilih pendedahan kepada jenama nasional menerusi kepentingan MBM Resources dalam Perodua, disokong tempahan tertunggak yang kukuh dan kedudukan tunai yang baik. - DagangNews.com






