sarah17/11/2026 - 14:47 ompleks Minyak Sawit Lestari Bersepadu (ISPOC) yang dibina oleh Johor Plantations Group Berhad Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Johor Plantations Group Bhd (JPG) telah membelanjakan sebanyak RM434.2 juta bagi pembangunan Kompleks Minyak Sawit Mampan Bersepadu (iSPOC), yang dijangka memberikan sumbangan lebih besar kepada keuntungan kumpulan mulai 2027.
Menurut JF Apex Securities Research (JF Apex), sumbangan keuntungan daripada iSPOC ketika ini masih minimum, namun dijangka meningkat apabila kompleks berkenaan memulakan operasi pada suku pertama 2027.
Firma penyelidikan itu berkata, JPG telah memperuntukkan perbelanjaan modal sebanyak RM219 juta bagi iSPOC dalam tempoh sembilan bulan pertama 2026, menjadikan jumlah perbelanjaan terkumpul bagi pembangunan kompleks tersebut mencecah RM434.2 juta.
Dalam nota penyelidikan bertarikh, JF Apex berpandangan bahawa iSPOC berpotensi membantu JPG mempelbagaikan sumber pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada perniagaan perladangan sawit pada masa depan.
Pengeluaran sawit kembali meningkat
Sementara itu, keuntungan bersih teras JPG bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026 melonjak 96% kepada RM110.8 juta berbanding RM56.5 juta pada suku sebelumnya, disokong peningkatan pengeluaran dan kos jualan yang lebih rendah.
Hasil kumpulan turut meningkat 8.4% kepada RM450.7 juta berbanding suku sebelumnya, manakala pengeluaran tandan buah segar (BTS) melonjak 35.6% kepada 292,352 tan.
Peningkatan pengeluaran itu membantu mengurangkan kos pengeluaran minyak sawit mentah (MSM) seunit sebanyak 9.4% kepada RM2,526 setan, sekali gus menyokong pemulihan keuntungan suku tahunan kumpulan.
Bagaimanapun, bagi sembilan bulan pertama 2026, keuntungan bersih teras JPG menyusut 18.8% kepada RM219.9 juta berbanding RM270.7 juta dalam tempoh sama tahun lalu, manakala hasil turun 0.9% kepada RM1.22 bilion.
Prospek 2027 disokong pengeluaran dan iSPOC
JF Apex berkata, JPG menyasarkan pengeluaran BTS sekitar satu juta tan pada 2027, dengan prospek perniagaan turut bergantung kepada perkembangan harga MSM serta kesan fenomena El Niño terhadap bekalan.
Firma itu menjangkakan harga jualan purata MSM berada sekitar RM4,400 hingga RM4,500 setan pada suku keempat 2026, manakala permintaan biodiesel yang berterusan berpotensi menyokong harga komoditi berkenaan.
Namun, peningkatan kos operasi kekal sebagai cabaran apabila harga baja meningkat 15% berbanding tahun lalu dan kenaikan hampir sama dijangka pada 2027, selain pelarasan gaji pada Jun 2027 yang dianggarkan mengurangkan keuntungan bersih kumpulan sebanyak 5%.
Sehubungan itu, JF Apex mengekalkan saranan ‘beli’ terhadap saham JPG dengan harga sasaran RM2.15 sesaham, berdasarkan jangkaan pemulihan keuntungan dan sumbangan iSPOC yang lebih ketara pada 2027.- DagangNews.com





