
PETALING JAYA: Harga minyak global berisiko menembusi paras AS$90 (RM368.46) sekiranya konflik di Asia Barat kembali memuncak, namun secara asasnya dijangka kekal dalam lingkungan AS$80 (RM327.52) hingga AS$90 setong dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.
Risiko itu turut meningkat sekiranya Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan sekutunya (OPEC+) mengumumkan pengurangan tambahan pengeluaran minyak dalam tempoh berkenaan.
Penganalisis ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, bagaimanapun, harga minyak boleh kembali susut kepada sekitar AS$75 setong (RM307.05) sekiranya data ekonomi Amerika Syarikat (AS) dan China menunjukkan tanda-tanda kelembapan yang lebih ketara.
Katanya, pergerakan harga minyak global dijangka dipengaruhi tiga faktor utama iaitu bekalan, geopolitik dan permintaan.
“Dari aspek bekalan, disiplin pengurangan pengeluaran oleh OPEC+ dijangka kekal menjadi antara faktor yang menyokong harga minyak, sekali gus mewujudkan paras lantai bagi komoditi berkenaan.
“Selain itu, perkembangan geopolitik turut menjadi faktor penting, khususnya risiko gangguan terhadap laluan perkapalan utama seperti Selat Hormuz dan Laut Merah. Sebarang gangguan terhadap laluan berkenaan berpotensi meningkatkan premium risiko dalam harga minyak global.
“Sementara itu, dari sudut permintaan, perkembangan ekonomi China pada suku ketiga serta permintaan ketika musim sejuk di Eropah dan AS dijangka menjadi antara penentu utama pergerakan harga minyak.
“Sekiranya ekonomi global kekal berdaya tahan, permintaan yang kukuh dijangka terus memberikan sokongan kepada harga minyak dalam tempoh berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sehingga lewat petang semalam, minyak mentah Brent melonjak 0.53 peratus kepada AS$89.38 (RM365.92) setong, manakala penanda aras AS, West Texas Intermediate (WTI) naik 0.50 peratus kepada AS$83.59 (RM342.22) setong.
Mengulas kesan harga minyak global terhadap Malaysia, beliau berkata, perkembangan itu memberi kesan dua hala kepada ekonomi negara.
Menurutnya, sebagai pengeksport minyak dan gas, Malaysia berpotensi menikmati peningkatan hasil kerajaan dan pendapatan Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), sekali gus membantu kedudukan fiskal negara serta meningkatkan keupayaan pembayaran dividen kepada kerajaan.
“Bagaimanapun, sebagai pengimport produk petroleum bertapis, kenaikan harga minyak global akan meningkatkan kos subsidi dan memberi tekanan kepada perbelanjaan kerajaan.
“Bagi rakyat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pula, peningkatan harga minyak boleh menyebabkan kos logistik dan pengangkutan meningkat, sekali gus berpotensi memberi tekanan kepada inflasi teras,” katanya.
Beliau berkata, cabaran utama kerajaan adalah mengimbangi manfaat peningkatan hasil daripada sektor minyak dan gas dengan peningkatan kos subsidi serta tekanan terhadap kos sara hidup dan operasi perniagaan.
“Sehubungan itu, kerajaan perlu memastikan mekanisme subsidi bersasar seperti BUDI95 dan subsidi diesel bersasar terus dilaksanakan dengan lancar bagi melindungi golongan yang terkesan.
“Pada masa sama, sebarang peningkatan hasil kerajaan perlu dimanfaatkan bagi pelaburan produktif serta memperkukuh usaha peralihan tenaga negara,” katanya. – UTUSAN
The post Harga minyak dijangka kekal sekitar AS$90 setong dalam 6 bulan appeared first on Utusan Malaysia.





