Harga Minyak Melonjak Susulan Laporan Serangan Israel Di Doha

WorldBusiness & Finance
10 Sep 2025 • 9:48 AM MYT
UmmahToday
UmmahToday

From Ummah To Ummah News Portal

image is not available

image is not available

Harga minyak mentah melonjak susulan laporan serangan udara Israel ke atas Doha, ibu negara Qatar, yang didakwa menyasarkan pemimpin Hamas.

Sehingga pagi ini, minyak mentah Brent meningkat 0.56 peratus kepada US$66.39 setong, manakala minyak mentah WTI menokok 0.54 peratus kepada US$62.97 setong (US$1 = RM4.21).

Ketua Analisis Geopolitik Rystad Energy, Jorge Leon, berkata tindakan Israel itu hanya memburukkan lagi ketegangan di Timur Tengah, sekali gus meningkatkan risiko penularan krisis ke seluruh rantau.

“Banyak bergantung kepada tindak balas Qatar yang merupakan sekutu rapat Amerika Syarikat serta anggota utama Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Langkah Qatar selepas ini akan menentukan trajektori dinamik serantau,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang perkembangan lanjut boleh menjejaskan kestabilan rantau Teluk dan melangkaui sempadan wilayah tersebut, sekali gus memperlihatkan betapa gentingnya keadaan semasa.

“Rundingan melibatkan Hamas yang sebelum ini sudah pun goyah, kini kelihatan tertutup terus dan hanya menjejaskan prospek penyelesaian krisis dalam masa terdekat,” tambahnya.

Sementara itu, kerajaan Qatar mengutuk sekeras-kerasnya serangan berkenaan yang menyasarkan bangunan kediaman beberapa anggota Biro Politik Hamas di Doha. Dalam kenyataannya, Qatar menyifatkan tindakan tersebut sebagai pencabulan terang-terangan terhadap undang-undang dan norma antarabangsa serta ancaman serius kepada keselamatan rakyatnya dan warga asing di negara itu.

BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved