hamden25/11/2026 - 10:18 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 25 Nov - Harga minyak sawit mentah (MSM) dijangka kekal melebihi RM4,100 satu tan pada Disember, disokong ketidaktentuan geopolitik dan kemungkinan campur tangan kerajaan Indonesia terhadap eksport.
Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) berkata, kedudukan harga itu juga dipengaruhi risiko pengeluaran minyak sawit Malaysia menyusut susulan dua tahun pengeluaran pada paras rekod.
"Unjuran itu dibuat ketika kebanyakan faktor yang memberi tekanan kepada harga MSM dijangka sudah diambil kira dalam pasaran, manakala permintaan berpotensi meningkat susulan kedudukan harga minyak sawit yang lebih kompetitif berbanding minyak sayuran lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada pertengahan November, minyak sawit diniagakan pada diskaun AS$175 setan berbanding minyak kacang soya dan AS$310 setan berbanding minyak bunga matahari di India.
Di China pula, minyak sawit diniagakan pada diskaun AS$70 setan berbanding minyak kacang soya pada November 2026, sekali gus menamatkan premium harga yang berterusan sejak Julai 2024.
Kelebihan harga itu dijangka menggalakkan aktiviti penambahan semula stok di India selepas perayaan Diwali dan menjelang musim perkahwinan, selain meningkatkan penggunaan minyak sawit dalam campuran minyak sayuran di China.
Perayaan Tahun Baharu Cina pada Februari 2027 yang berlangsung serentak dengan Ramadan turut berpotensi menyokong peningkatan penggunaan minyak sayuran dan permintaan minyak sawit.
Bekalan kekal mencukupi
Bagaimanapun, bekalan minyak sawit dijangka kekal mencukupi pada awal 2027 berikutan paras stok bawaan yang tinggi.
Pengeluaran minyak sawit Malaysia meningkat 1.7% kepada paras tertinggi bulanan sebanyak 2.15 juta tan pada Oktober, selepas mencatatkan pengeluaran kukuh pada September.
Gabungan cuaca panas akibat fenomena El Niño dan hujan berselang-seli berkemungkinan mempercepatkan proses pematangan buah tandan segar (BTS), sekali gus menyumbang kepada pengeluaran luar biasa tinggi pada September dan Oktober.
Dari segi eksport, penghantaran minyak sawit Malaysia melonjak 55.7% kepada 1.71 juta tan pada Oktober, iaitu jumlah bulanan tertinggi dalam tempoh dua tahun.
Peningkatan itu sebahagiannya disebabkan penghantaran tertangguh dari September berikutan kekurangan ketersediaan kapal.
India kekal destinasi eksport terbesar
India merupakan destinasi eksport terbesar Malaysia pada Oktober dengan penghantaran sebanyak 534,000 tan, menjadikan jumlah eksport ke negara itu sebanyak 3.1 juta tan bagi tempoh 10 bulan pertama 2026.
Bagi keseluruhan 2026, eksport minyak sawit Malaysia ke India dijangka mencapai 3.6 juta tan, iaitu jumlah tahunan tertinggi sejak 2019.
Bagaimanapun, stok minyak sawit Malaysia berpotensi menyusut dengan pantas mulai suku kedua 2027 (2Q27) sekiranya pengurangan bekalan eksport Indonesia mendorong peningkatan permintaan terhadap minyak sawit Malaysia.
Pada 2024, eksport minyak sawit Malaysia mencecah 16.9 juta tan susulan kerugian pengeluaran akibat El Niño di Indonesia.
Trend sama dijangka berulang pada 2027, dengan eksport Malaysia berpotensi mencapai 17 juta tan.
Sokongan terhadap harga MSM turut dijangka datang daripada risiko pokok kelapa sawit Malaysia memasuki fasa rehat biologi selepas mencatatkan pengeluaran pada paras rekod selama dua tahun berturut-turut pada 2025 dan 2026.
Peluang pembelian awal
Sementara itu, kelemahan harga minyak sawit baru-baru ini dilihat menawarkan peluang pembelian bagi penghantaran hadapan, khususnya untuk penghantaran pada suku pertama 2027 (1Q27).
Permintaan tambahan turut berpotensi muncul apabila bekalan minyak bunga matahari dari rantau Laut Hitam kekal terhad susulan konflik Rusia-Ukraine yang menjejaskan aktiviti pemprosesan dan eksport.
India, yang lazimnya mengimport 70% hingga 75% daripada keperluan minyak bunga mataharinya dari rantau Laut Hitam, menyaksikan Argentina mengatasi Rusia dan Ukraine sebagai pembekal terbesar minyak berkenaan pada separuh kedua 2026.
Kira-kira separuh daripada industri pemprosesan biji bunga matahari Ukraine dilaporkan menghentikan operasi, manakala tiada penghantaran minyak bunga matahari dari negara itu ke India direkodkan sejak Julai 2026.
Bekalan minyak bunga matahari yang ketat dari rantau Laut Hitam berkemungkinan berterusan hingga 1Q27 sekiranya konflik tidak reda dan eksport gagal pulih.
Keadaan itu boleh menyebabkan beberapa negara di Asia Barat meningkatkan kebergantungan kepada import minyak sawit bagi mengimbangi kekurangan bekalan serta mengurangkan pendedahan kepada harga minyak bunga matahari yang tinggi menjelang Ramadan. - DagangNews.com





