hamden23/11/2026 - 16:02 Kilang penapisan minyak sawit Liquid Palm Edible Oils di Pangkalan Chepa Kelantan. - Gambar/ UPKN Kelantan KUALA LUMPUR 23 Nov - Kelantan kini mempunyai kilang penapisan minyak sawit pertamanya menerusi pembangunan Liquid Palm Edible Oils Sdn Bhd (LPEO) di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II, sekali gus membuka ruang kepada pengembangan industri hiliran sawit serta penghasilan produk bernilai tambah lebih tinggi di negeri itu.
Kilang berkenaan mempunyai kapasiti pemprosesan sebanyak 17,000 tan metrik minyak sawit mentah sebulan, dengan keseluruhan pelaburan dan kos berkaitan dianggarkan berjumlah RM200 juta.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan berkata, pembangunan kemudahan itu merupakan langkah penting dalam memperkukuh sektor perindustrian negeri, khususnya melalui pengembangan aktiviti hiliran yang berupaya meningkatkan nilai industri sawit.
Menurutnya, potensi sebenar industri minyak sawit bukan hanya bergantung kepada pengeluaran bahan mentah, sebaliknya turut ditentukan keupayaan membangunkan aktiviti pemprosesan yang menghasilkan produk bernilai tambah lebih tinggi.
“Potensi sebenar industri ini bukan hanya terletak pada pengeluaran bahan mentah semata-mata tetapi bergantung kepada keupayaan membangunkan aktiviti hiliran yang mampu menghasilkan produk dengan nilai tambah yang lebih tinggi,” katanya lapor portal UPKN Kelantan.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Kilang Memproses Liquid Palm Edible Oils Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa II, Kota Bharu, hari ini.
Keyakinan sektor swasta
Mohamed Fadzli berkata, pelaburan strategik itu mencerminkan keyakinan sektor swasta terhadap potensi Kelantan sebagai destinasi pelaburan dan lokasi pembangunan industri yang mempunyai prospek pertumbuhan memberangsangkan.
Pelaburan keseluruhan sebanyak RM200 juta itu merangkumi pembangunan kilang, kerja-kerja menaik taraf, kemudahan perindustrian serta pelbagai komponen sokongan operasi.
Dari sudut manfaat ekonomi kepada rakyat, pembangunan kilang berkenaan dijangka menyediakan kira-kira 200 peluang pekerjaan, termasuk 70 pekerjaan secara langsung dalam operasi kilang.
Lebih 90 peratus tenaga kerja kilang itu terdiri daripada anak tempatan Kelantan, sekali gus mencerminkan komitmen Kumpulan İKHASAS dalam mengutamakan penglibatan tenaga kerja tempatan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan İKHASAS, Ir. Tan Chee Kian berkata, pembukaan LPEO mencerminkan komitmen kumpulan itu untuk terus mengembangkan perniagaan dalam industri sawit, di samping menyumbang kepada pembangunan ekonomi Kelantan.
Katanya, sejak menceburi industri sawit pada 2017, Kumpulan İKHASAS berkembang secara berperingkat daripada aktiviti perladangan dan pengilangan kepada sektor hiliran. - DagangNews.com






