liza23/11/2026 - 16:25 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 23 Nov – Penggiat industri minyak sawit Malaysia berpendapat tempoh terbaik untuk kerajaan memberikan pengecualian sementara cukai eksport minyak sawit mentah (CPO) bagi mengurangkan lambakan stok dalam negara sudah berlalu.
Bagaimanapun, industri menggesa kerajaan supaya segera mengumumkan keputusan berhubung cadangan pengecualian cukai berkenaan bagi menamatkan ketidaktentuan pasaran dan membolehkan syarikat merancang operasi masing-masing.
Presiden Persatuan Pemilik Estet Malaysia, Ahmad Zachry Anifah Aman berkata, pengecualian cukai pada ketika ini tidak lagi akan memberikan kesan positif seperti yang diharapkan sebelum ini.
Beliau menyampaikan pendirian itu bagi pihak Kumpulan Solidariti Minyak Sawit Malaysia (Malaysian Palm Oil Solidarity Group), yang dianggotai 14 persatuan mewakili pelbagai segmen industri daripada sektor perladangan hingga pemprosesan hiliran.
Menurutnya, walaupun tempoh untuk pengecualian itu memberikan manfaat sudah berlalu, keputusan jelas daripada kerajaan tetap diperlukan bagi menamatkan spekulasi dan membolehkan industri membuat perancangan sewajarnya, lapor The Edge.
Lebihan bekalan tingkatkan kebimbangan industri
Malaysia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar dunia, sebelum ini mempertimbangkan pengecualian sementara cukai eksport CPO bagi menggalakkan pembelian dan mengurangkan peningkatan stok simpanan susulan pengeluaran yang lebih tinggi daripada jangkaan.
Pertambahan stok itu mencetuskan kebimbangan mengenai kekangan kapasiti penyimpanan di beberapa kawasan negara, selain risiko kilang memproses minyak sawit mengurangkan pembelian buah tandan segar (BTS) daripada pekebun kecil.
Bagaimanapun, kesan pengecualian cukai dijangka terhad pada ketika ini memandangkan pengeluaran bermusim dijangka berkurangan, manakala permintaan pula dijangka meningkat dalam beberapa bulan akan datang.
Pembeli dan pengguna minyak sawit juga dijangka membuat persediaan bagi memenuhi permintaan sempena sambutan Tahun Baharu Cina serta bulan Ramadan pada Februari 2027.
ARTIKEL BERKAITAN: Pengecualian cukai eksport minyak sawit mentah mampu bantu Malaysia dapat balik pasaran yang hilang - PublicInvest
Industri desak keputusan kerajaan
Pada 29 Oktober lalu, Menteri Perladangan dan Komoditi, Noraini Ahmad berkata, kementeriannya sudah mengadakan rundingan dengan pemain industri berhubung cadangan pengecualian cukai itu dan akan mengemukakan analisis kepada Kementerian Kewangan.
Kementerian Kewangan mempunyai kuasa membuat keputusan akhir berhubung cadangan berkenaan.
Bagaimanapun, kumpulan industri terus mendesak kerajaan memberikan keputusan selepas rundingan tersebut, dengan alasan ketidaktentuan selama beberapa minggu telah mencetuskan spekulasi serta mengaburkan prospek pasaran.
Kumpulan Solidariti Minyak Sawit Malaysia turut menghantar surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meminta kerajaan menjelaskan pendiriannya berhubung cadangan pengecualian cukai eksport itu.
Harga CPO susut 18% sejak September
Dalam perkembangan berkaitan, niaga hadapan minyak sawit mentah di Bursa Malaysia melanjutkan kerugian untuk hari kelima berturut-turut pada Isnin, sekali gus menuju paras penutupan terendah sejak Mac 2026.
Harga minyak sawit mentah dilaporkan merosot kira-kira 18% daripada paras tertinggi pada September susulan peningkatan lebihan bekalan Malaysia serta kebimbangan terhadap permintaan luar negara.
Ketidaktentuan mengenai cadangan pengecualian cukai eksport itu turut dikenal pasti pedagang sebagai antara faktor yang menjejaskan sentimen pasaran.
Pada masa sama, permintaan luar negara menunjukkan tanda-tanda kelemahan apabila pemeriksa kargo melaporkan penghantaran minyak sawit Malaysia lebih rendah dalam tempoh 20 hari pertama November.
Pembeli dari China juga dilaporkan membatalkan beberapa kargo minyak sawit berikutan paras inventori yang tinggi serta kekangan kapasiti penyimpanan di negara itu. - DagangNews.com






