liza05/08/2026 - 11:49 Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com KUALA LUMPUR 5 Ogos – Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) optimis Kinergy Advancement Bhd akan mencatat keuntungan tertinggi dalam sejarah syarikat pada tahun kewangan berakhir 2026 (FY26), didorong pertumbuhan pesat sektor tenaga di Malaysia.
Firma penyelidikan itu memulakan liputan terhadap saham Kinergy dengan menetapkan nilai saksama sebanyak 53 sen sesaham, mencerminkan potensi kenaikan 27.7 peratus berbanding harga penutup terakhir 41.5 sen.
Menurut HLIB, Kinergy kini bukan lagi sekadar kontraktor kejuruteraan konvensional, sebaliknya telah berkembang menjadi pemaju dan pemilik aset tenaga yang mampu menjana pendapatan berulang daripada pelbagai projek strategik.
“Perubahan model perniagaan itu meletakkan syarikat dalam kedudukan lebih kukuh untuk memanfaatkan peluang yang diwujudkan menerusi agenda peralihan tenaga negara.
“Perniagaan Kinergy kini dipacu oleh perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) khusus bagi sektor tenaga, selain memiliki portfolio konsesi melibatkan tenaga solar, hidro mini, biogas dan gas asli,” kata HLIB dalam nota kajiannya.
Manfaat Daripada Pelaburan Loji Janakuasa Gas
HLIB berkata, Kinergy dijangka menjadi antara penerima manfaat utama daripada kitaran pelaburan baharu loji janakuasa berasaskan gas di Malaysia yang dijangka berlangsung dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Permintaan elektrik yang semakin meningkat, khususnya daripada pembangunan pusat data selain penamatan secara berperingkat loji janakuasa arang batu, dijangka merangsang lebih banyak pelaburan dalam kapasiti penjanaan tenaga berasaskan gas.
Menurut HLIB, kerjasama strategik Kinergy dengan syarikat tenaga tersenarai Thailand, B.Grimm Power, memberikan kelebihan daya saing melalui akses kepada kepakaran pembangunan projek dan perolehan turbin.
Kerjasama itu turut membantu syarikat memperoleh projek menaik taraf TTPC berkapasiti 1.5 gigawatt (GW) di Perlis, selain membuka ruang kepada penyertaan dalam tender kapasiti loji janakuasa gas pada masa depan.
HLIB berkata, pencapaian itu membuktikan Kinergy semakin kukuh sebagai pemain utama dalam pembangunan infrastruktur tenaga negara.
Hubungan Kukuh Dengan PETRONAS Pacu Pertumbuhan
Selain sektor gas, HLIB turut melihat hubungan Kinergy dengan PETRONAS sebagai satu lagi pemangkin pertumbuhan syarikat.
Menurut firma penyelidikan itu, Kinergy berjaya memperoleh tiga kontrak utama EPCC daripada PETRONAS hasil penggunaan teknologi pemulihan haba buangan miliknya.
HLIB percaya rekod prestasi tersebut meningkatkan kebarangkalian syarikat memperoleh kontrak berulang memandangkan PETRONAS terus melaksanakan pelaburan dalam projek janakuasa gas dan infrastruktur rendah karbon.
Pada masa sama, Kinergy turut berada dalam kedudukan baik untuk memanfaatkan perkembangan sektor tenaga boleh diperbaharui susulan sasaran kerajaan meningkatkan kapasiti tenaga boleh diperbaharui kepada 70 peratus menjelang 2050.
Melalui kerjasama dengan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak, syarikat itu telah membangunkan saluran projek tenaga boleh diperbaharui berkapasiti 1.8GW di Perak yang dijangka menyumbang kepada pertumbuhan kontrak EPCC, aset konsesi dan pendapatan berulang pada masa hadapan.
HLIB menjangkakan FY26 menjadi tahun terbaik Kinergy dengan keuntungan bersih teras diunjurkan meningkat 39 peratus, sebelum terus berkembang sebanyak 26 peratus pada FY27 dan tujuh peratus pada FY28, sekali gus mengukuhkan prospek pertumbuhan jangka panjang syarikat. - DagangNews.com






