
PETALING JAYA: Harga purata minyak mentah global berisiko melonjak mencecah paras AS$100 (RM409.40) setong sekiranya ketegangan geopolitik dan ancaman gangguan bekalan di Asia Barat terus meruncing.
Pada pukul 5 petang semalam, minyak mentah Brent ditutup pada AS$91.09 (RM369.61), meningkat 2.38 peratus berbanding AS$88.97 (RM361.84) pada Isnin, manakala minyak mentah WTI ditutup pada A$85.09 (RM345.26) berbanding AS$82.32 (RM334.80).
Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff berkata, pergerakan harga minyak mentah dijangka berdepan volatiliti sederhana minggu ini berikutan pelepasan pelbagai minit mesyuarat dan data ekonomi utama AS.
“Berdasarkan analisis pergerakan pasaran, harga minyak mentah West Texas Intermediate (WTI) diunjurkan berpotensi menyasar paras AS$93.80 (RM384.02) setong sekiranya berjaya menembusi melepasi paras rintangan AS$87 (RM356.18) setong.
“Sementara itu, harga minyak mentah Brent pula dijangka melonjak sehingga mencecah AS$125 (RM511.75) setong sekiranya melepasi paras AS$100 (RM409.40) setong.
“Selain faktor bekalan, pasaran juga mengambil kira paras inventori minyak global yang lebih rendah. Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) menjangkakan gangguan aliran melalui Selat Hormuz akan terus menekan inventori global dalam tempoh terdekat, sekali gus mengekalkan harga minyak pada paras tinggi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mengulas mengenai prestasi pasaran terkini, beliau berkata, harga minyak mentah dunia mencatatkan peningkatan berikutan amaran Iran yang sedia mengambil tindakan ofensif sekiranya saluran diplomasi menemui jalan buntu.
“Unjuran berkenaan didorong oleh ketiadaan kemajuan dalam usaha diplomatik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) selepas Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai kedua-dua negara pada 17 Jun lalu tamat tempoh pada Isnin (17 Ogos),” katanya.
Dalam pada itu, Kementerian Luar Iran menerusi agensi berita Tasnim menolak sebarang rundingan untuk melanjutkan MoU berkenaan, manakala Presiden AS, Donald Trump turut menegaskan beliau tidak berminat untuk memperbaharui perjanjian itu.
Situasi geopolitik terus tegang apabila Presiden AS, Donald Trump dalam wawancara bersama Fox News menuntut Iran untuk menyerah kalah.
Beliau turut mengancam untuk menyerang sekutu AS, Oman berikutan rundingan negara itu dengan Tehran mengenai pengurusan trafik di Selat Hormuz. –UTUSAN
The post Harga minyak diunjur kembali cecah AS$100 setong appeared first on Utusan Malaysia.





