Prospek pemulihan AirAsia positif namun penganalisis kekal berhati-hati

LocalBusiness & Finance
14 Aug 2026 • 12:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Prospek pemulihan AirAsia positif namun penganalisis kekal berhati-hati Image from: Prospek pemulihan AirAsia positif namun penganalisis kekal berhati-hati hamden14/08/2026 - 12:08 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 14 Ogos - Prospek AirAsia Group Bhd dijangka bertambah baik menjelang penghujung tahun apabila harga bahan api semakin stabil dan permintaan perjalanan kekal kukuh, namun penganalisis mengambil pendekatan lebih berhati-hati susulan prestasi lemah pada suku kedua. 

 

Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) yang mengekalkan saranan ‘BELI', namun menurunkan harga sasaran TP kepada RM1.86 daripada RM2.20 berkata, AirAsia kini beralih kepada strategi ‘margin mengatasi jumlah’ menerusi pengurangan kapasiti, pengoptimuman rangkaian penerbangan dan peningkatan tambang bagi melindungi hasil.

 

HLIB berkata kumpulan itu akan mengekalkan struktur kapasiti yang lebih ideal pada suku ketiga, dengan kapasiti dijangka 20% hingga 25% lebih rendah berbanding setahun sebelumnya berikutan permintaan bermusim yang lebih lemah.

 

“AirAsia akan meneruskan strategi margin mengatasi jumlah, mengoptimumkan rangkaian dan mengekalkan disiplin dalam penggunaan kapasiti,” katanya dalam nota penyelidikan. 

 

HLIB berkata, harga bahan api penerbangan kini susut kepada sekitar AS$140 hingga AS$150 setong, berbanding paras kemuncak kira-kira AS$220 sebelum ini.

 

AirAsia pula katanya, mengekalkan andaian harga bahan api pada AS$160 setong bagi tujuan penetapan harga, memberikan penampan sekitar AS$10 setong untuk melindungi margin.

 

HLIB menjangkakan prestasi kumpulan bertambah baik secara berperingkat, dengan permintaan perjalanan yang kekal agak kukuh pada Julai dan Ogos dijangka menyokong faktor muatan yang lebih sihat.

 

Pemulihan Suku Keempat

Firma itu turut menjangkakan pemulihan lebih kukuh pada suku keempat apabila permintaan masuk dari China dan pasaran intra-ASEAN meningkat.

 

AirAsia juga merancang untuk memulihkan kapasiti kepada paras suku keempat 2025 apabila keadaan permintaan bertambah baik.

 

Sementara itu, Public Investment Bank (PublicInvest) menurunkan unjuran pendapatan AirAsia bagi FY26 hingga FY28 secara purata 27%, mengambil kira permintaan yang lebih lemah, kapasiti lebih rendah dan hasil tambang yang menyusut.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan ‘Neutral’ terhadap AirAsia tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM1.05 daripada RM1.29.

 

PublicInvest berkata ketidaktentuan geopolitik, harga bahan api serta pergerakan dolar AS kekal sebagai risiko utama terhadap prospek pendapatan AirAsia.

 

"Berikutan lonjakan harga bahan api jet susulan konflik Timur Tengah, AirAsia beralih kepada pendekatan “margin mengatasi jumlah”, di samping melaksanakan pengurusan armada secara proaktif, penyusunan semula rangkaian laluan dan kenaikan tambang secara agresif bagi mengekalkan hasil tambang," katanya.

 

AirAsia Group Bhd yang sebelum ini dikenali sebagai AirAsia X Bhd, mencatatkan kerugian bersih pada suku kedua, terjejas akibat lonjakan harga bahan api jet susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat, selain kerugian pertukaran asing.

 

Kumpulan penerbangan itu mencatatkan kerugian bersih RM527.16 juta bagi suku berakhir 30 Jun 2026 (2QFY2026), meningkat daripada kerugian RM154.9 juta pada suku sebelumnya, menurut pemfailannya kepada Bursa Malaysia pada Khamis. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved