
PETALING JAYA: Indeks harga seunit pasir meningkat antara 0.1 peratus hingga 14.9 peratus pada Julai 2026 dengan kenaikan tertinggi direkodkan di Terengganu dan Kelantan.
Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, peningkatan itu turut dicatatkan di Kota Kinabalu sebanyak 4.1 peratus serta Pulau Pinang, Kedah dan Perlis sebanyak 2.8 peratus.
“Indeks harga seunit besi pula mencatatkan peningkatan kecil antara 0.6 peratus hingga 0.9 peratus pada Julai 2026 berbanding bulan sebelumnya.
“Peningkatan tertinggi direkodkan di Perak sebanyak 0.9 peratus, diikuti Tawau (0.7 peratus) dan Sandakan (0.6 peratus), manakala indeks harga seunit besi kekal tidak berubah di kebanyakan kawasan lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan.
Menurut DOSM, indeks harga seunit simen turut meningkat antara 0.2 peratus hingga 0.8 peratus pada Julai 2026 berbanding bulan sebelumnya.
“Peningkatan tertinggi direkodkan di Perak sebanyak 0.8 peratus, diikuti Selangor, W.P. Kuala Lumpur, Melaka dan Negeri Sembilan (0.3 peratus) serta Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (0.2 peratus).
“Indeks harga seunit simen kekal tidak berubah di kebanyakan kawasan lain di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” katanya.
Bagi perbandingan tahun ke tahun, DOSM berkata, indeks harga seunit besi meningkat antara 0.5 peratus hingga 8.4 peratus pada Julai 2026 berbanding bulan sama tahun lalu di kebanyakan kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi direkodkan di Perak sebanyak 8.4 peratus, diikuti Johor (6.3 peratus) dan Pahang (4.8 peratus).
“Bagi indeks harga seunit simen pula, peningkatan antara 0.9 peratus hingga 7.5 peratus direkodkan pada Julai 2026 berbanding bulan sama tahun lalu di seluruh kawasan di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Peningkatan tertinggi dicatatkan di Perak sebanyak 7.5 peratus, diikuti Kuching dan Miri masing-masing 7.2 peratus,” katanya.
Dalam pada itu, DOSM berkata, purata harga seunit besi yang terdiri daripada bar bulat keluli lembut dan Mycon 60 high tensile deformed bars susut 0.2 peratus kepada RM3,499.50 satu tan metrik pada Julai 2026 berbanding RM3,507.10 satu tan metrik pada bulan sebelumnya.
“Purata harga simen Ordinary Portland pula kekal tidak berubah pada RM25.70 bagi setiap 50 kilogram.
“Indeks Kos Bahan Binaan (IKB) termasuk bar keluli mengikut kategori bangunan dan kawasan di Semenanjung Malaysia meningkat antara 0.1 peratus hingga 1.4 peratus pada Julai 2026 berbanding bulan sebelumnya.
“Di Sabah, IKB termasuk bar keluli meningkat antara 0.2 peratus hingga 0.5 peratus bagi hampir semua kategori bangunan, manakala di Sarawak, indeks itu meningkat antara 0.2 peratus hingga 1.3 peratus bagi semua kategori bangunan,” katanya. –UTUSAN
The post Harga pasir naik sehingga 14.9 peratus pada Julai appeared first on Utusan Malaysia.





