Kadar pengangguran Jun kekal pada 3.0 peratus

Business & Finance
11 Aug 2026 • 4:31 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Kadar pengangguran Jun kekal pada 3.0 peratus

PETALING JAYA: Pasaran buruh Malaysia terus menunjukkan momentum positif apabila kadar pengangguran bagi Jun 2026 kekal stabil pada paras 3.0 peratus.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, bilangan tenaga buruh negara merekodkan peningkatan marginal sebanyak 0.04 peratus bulan ke bulan, menjadikan jumlah keseluruhan mencecah 17.34 juta orang.

Menurutnya, kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) pula dilaporkan kekal pada paras 70.9 peratus, tidak berubah berbanding bulan sebelumnya.

“Bilangan penduduk bekerja pada Jun 2026 meningkat 0.01 peratus kepada 16.83 juta orang, manakala bilangan penganggur turut mencatatkan kenaikan daripada 513,400 orang kepada 517,800 orang. 

“Daripada jumlah penganggur tersebut, kumpulan penganggur aktif yang bersedia dan sedang mencari pekerjaan merangkumi 79.4 peratus atau seramai 410,900 orang,” katanya dalam kenyataan.

Mengikut aktiviti ekonomi, DOSM berkata, sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama guna tenaga terutamanya dalam aktiviti pengangkutan dan penyimpanan, penginapan serta makanan dan minuman.

Bagi prestasi suku tahun kedua 2026, pasaran buruh terus berkembang dengan jumlah tenaga buruh meningkat 0.3 peratus kepada 17.28 juta orang berbanding suku tahun sebelumnya.

“Bilangan penduduk bekerja bagi suku kedua turut meningkat kepada 16.77 juta orang, manakala bilangan penganggur bertambah 0.6 peratus kepada 509,700 orang dengan kadar pengangguran pada paras 3.0 peratus.

“Di peringkat negeri, Wilayah Persekutuan Putrajaya terus merekodkan kadar pengangguran terendah pada suku kedua iaitu 1.3 peratus, diikuti Melaka dan Pahang (2.0 peratus) serta Selangor (2.1 peratus),” katanya.

Dalam pada itu, DOSM berkata, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal pada 10.2 peratus melibatkan 292,200 orang, manakala belia berumur 15 hingga 30 tahun tidak berubah pada 6.3 peratus.

Melihat kepada prospek hadapan, pasaran buruh negara dijangka kekal positif disokong oleh kestabilan ekonomi domestik serta aktiviti pelaburan berterusan, meskipun berdepan risiko ketidaktentuan pasaran tenaga global dan geopolitik. – UTUSAN

The post Kadar pengangguran Jun kekal pada 3.0 peratus appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved