IPP meningkat 6.5 peratus pada Jun 2026

Business & Finance
11 Aug 2026 • 2:36 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: IPP meningkat 6.5 peratus pada Jun 2026

PETALING JAYA: Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meneruskan momentum positif apabila mencatatkan peningkatan sebanyak 6.5 peratus tahun ke tahun pada Jun 2026.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkata, pengeluaran berkenaan terus dipacu oleh sektor pembuatan yang merekodkan pengembangan 7.3 peratus, diikuti oleh sektor elektrik yang meningkat 6.7 peratus.

“Sementara itu, pengeluaran sektor perlombongan menyederhana dengan ketara kepada 3.1 peratus pada Jun 2026 berbanding 19.8 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

“Berasaskan perbandingan bulan ke bulan, IPP melonjak 5.5 peratus daripada 1.4 peratus yang direkodkan pada Mei 2026,” katanya dalam kenyataan.

Menurut DOSM, industri berorientasikan eksport kekal sebagai pemacu utama dalam pengeluaran sektor pembuatan pada Jun 2026 dengan pertumbuhan sebanyak 7.6 peratus.

“Peningkatan ini didorong terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik dan optikal yang terus mencatatkan pertumbuhan dua digit sebanyak 14.9 peratus.

“Bagi industri berorientasikan domestik pula, segmen ini berkembang sebanyak 6.4 peratus pada Jun 2026, disokong oleh pembuatan kenderaan bermotor, treler dan semi treler (12.6 peratus) serta pembuatan logam asas (8.2 peratus),” katanya.

Bagi prestasi suku tahunan, DOSM berkata, IPP negara melonjak tinggi sebanyak 7.7 peratus pada suku kedua tahun 2026 berbanding 4.0 peratus yang direkodkan pada suku pertama lalu.

“Pertumbuhan bagi suku kedua tahun ini disumbangkan oleh prestasi sektor perlombongan sebanyak 9.4 peratus, sektor pembuatan (7.4 peratus) dan sektor elektrik (7.3 peratus).

“Secara keseluruhan bagi separuh pertama tahun 2026 (Januari hingga Jun), IPP negara mencatatkan peningkatan 5.9 peratus berbanding 2.0 peratus pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.

Dalam pada itu, DOSM berkata, pertumbuhan sederhana bagi sektor perlombongan sebanyak 3.1 peratus adalah disebabkan oleh peningkatan dalam pengeluaran gas asli sebanyak 7.4 peratus.

“Sebaliknya, pengeluaran minyak mentah dan kondensat terus merekodkan penyusutan sebanyak 3.3 peratus pada bulan dikaji.

“Di peringkat global, prestasi IPP bagi beberapa negara turut bertumbuh sederhana termasuk Singapura sebanyak 7.2 peratus dan Amerika Syarikat (1.1 peratus), manakala China dan Korea Selatan masing-masing meningkat 5.3 peratus dan 5.8 peratus,” katanya. – UTUSAN

The post IPP meningkat 6.5 peratus pada Jun 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved