Harga RON95 Turun, Kadar Tol 10 Lebuh Raya Kekal - PM

LocalPolitics
23 Jul 2025 • 12:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Penurunan harga RON95 akan dilaksanakan akhir September nanti - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Harga RON95 akan diturunkan kepada RM1.99 seliter berbanding harga semasa, RM2.05 seliter.

Mengumumkan perkara itu, Datuk Seri  Anwar Ibrahim berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan penyaluran subsidi secara bersasar, sekali gus membasmi pembaziran yang hanya merugikan negara.

Menurut beliau, langkah itu yang bakal dilaksanakan menjelang akhir September nanti diyakini akan memberi manfaat kepada sekitar 18 juta pemandu kereta dan penunggang motosikal, termasuk belia seawal usia 16 tahun dan pekerja gig.

“Pendekatan bersasar ini sejajar dengan ikhtiar kerajaan untuk mengoptimum sumber negara bagi manfaat rakyat, dan mengurangkan pembaziran subsidi. 

“Bagi tahun 2023 dan 2024, subsidi RON95 sahaja dianggarkan menelan belanja hampir RM20 bilion setahun, sungguhpun tahun ini harga minyak dunia mengalami penyusutan, harga petrol RON95 tanpa subsidi masih sekitar RM2.50 seliter, jauh lebih tinggi daripada harga bersubsidi untuk rakyat,” katanya.

Anwar menyatakan demikian sewaktu membentangkan Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia, yang disiarkan secara langsung hari ini.

image is not available
Anwar Ibrahim - Gambar BERNAMA

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, warganegara asing perlu membayar pada harga pasaran tanpa subsidi.

Dalam perkembangan lain, Anwar memberitahu, kerajaan bersetuju menangguhkan kenaikan kadar tol di 10 lebuh raya, bagi membolehkan rakyat menikmati kadar sama.

“Ini bermakna kerajaan akan menanggung kos lebih RM500 juta.

“Ia antaranya melibatkan Lebuhraya Senai-Desaru (SDE), Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Lebuhraya Lingkaran Luar Butterworth (LLB) dan Lebuhraya KL-Putrajaya (MEX),” katanya.

Perdana Menteri menarik perhatian, kerajaan juga bersetuju mengisytiharkan 15 September nanti sebagai hari kelepasan am tambahan sempena Sambutan Hari Malaysia tahun ini.

“Hari kelepasan ini bagi menghargai ukhwah perpaduan dan keistimewaan pembentukan Malaysia. 

“Ini juga bagi memberi galakan agar rakyat menjalinkan silaturahim sesama keluarga di kampung atau meluangkan masa bercuti di dalam negara,” katanya. - Getaran, 23 Julai 2025