
KUALA LUMPUR - Harga runcit petrol dan diesel tanpa subsidi akan menyaksikan penurunan antara 15 hingga 20 sen seliter bagi tempoh 19 hingga 25 November ini, susulan penyusutan harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan, berdasarkan Mekanisme Harga Automatik (APM), harga RON97 mencatatkan penurunan tertinggi sebanyak 20 sen kepada RM4 seliter berbanding RM4.20 sebelum ini.
Sementara itu, harga RON95 tanpa subsidi dan diesel masing-masing turun 15 sen kepada RM3.72 dan RM4.72 seliter.
Bagaimanapun, penurunan harga pasaran itu tidak akan menjejaskan kadar bahan api bersubsidi di bawah program BUDI MADANI yang kekal pada harga sedia ada.
Penerima yang layak di bawah program BUDI95 akan terus menikmati harga RON95 sebanyak RM1.99 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM3.72 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM1.73 bagi setiap liter.
Bagi diesel pula, penerima yang layak di bawah BUDI Diesel kekal membayar RM2.10 seliter, manakala kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.62 seliter berdasarkan harga pasaran tanpa subsidi RM4.72.
Harga diesel di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) turut dikekalkan masing-masing pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.
Dalam pada itu, jangkaan peningkatan bekalan minyak mentah global turut membantu meredakan tekanan terhadap harga pasaran.
Namun, ketidaktentuan geopolitik, risiko gangguan laluan perkapalan serta kekangan bekalan produk petroleum bertapis berpotensi terus mempengaruhi turun naik harga bahan api.
Rakyat Malaysia yang memenuhi syarat kelayakan masih boleh mendapatkan petrol RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan masing-masing. - Getaran, 18 November 2026





