sarah13/11/2026 - 09:20 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 13 Nov - IOI Properties Group Berhad (IOIPG) menetapkan harga tawaran akhir amanah pelaburan hartanahnya, IOIPG REIT, pada 91 sen seunit berbanding harga permohonan asal 96 sen, sekali gus membolehkan pelabur runcit yang berjaya menerima bayaran balik sebanyak lima sen bagi setiap unit yang diperuntukkan.
Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, harga akhir itu ditetapkan selepas proses pembinaan buku tawaran bagi pelabur institusi selesai pada 10 November lalu, dengan harga tawaran institusi turut dimuktamadkan pada 91 sen seunit.
IOIPG menjelaskan bahawa pemohon tawaran runcit sebelum ini telah membayar harga 96 sen seunit ketika mengemukakan permohonan. Oleh itu, perbezaan lima sen akan dipulangkan kepada pemohon yang berjaya tanpa sebarang faedah, mengikut mekanisme bayaran balik yang ditetapkan dalam prospektus.
Permintaan pelabur bukan Bumiputera lebih tinggi
Dalam perkembangan sama, tawaran awam IOIPG REIT menerima sebanyak 10,859 permohonan melibatkan 175 juta unit, mewakili lebihan langganan keseluruhan sebanyak 1.59 kali, sekali gus mencerminkan sambutan terhadap penyenaraian REIT berkenaan.
Permintaan paling ketara dicatatkan dalam kategori pelabur awam bukan Bumiputera apabila sebanyak 9,114 permohonan diterima bagi 156.76 juta unit, mewakili lebihan langganan 2.85 kali.
Sebaliknya, kategori pelabur awam Bumiputera menerima 1,745 permohonan melibatkan 18.24 juta unit, dengan baki peruntukan yang tidak dilanggan diagihkan semula mengikut mekanisme pengagihan yang dinyatakan dalam prospektus.
Tawaran institusi dilanggan sepenuhnya
Bagi tawaran institusi pula, sebanyak 1.48 bilion unit yang ditawarkan kepada pelabur institusi dan pelabur terpilih, termasuk pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), telah dilanggan sepenuhnya. Tawaran terhad turut mencatat lebihan langganan sebanyak 1.10 kali, manakala tawaran borang merah jambu melibatkan 55 juta unit dilanggan sepenuhnya.
IOIPG REIT merupakan sebahagian daripada langkah IOI Properties untuk menyusun semula portfolio hartanahnya menerusi penubuhan amanah pelaburan hartanah yang disokong aset komersial kumpulan, termasuk IOI City Mall di Putrajaya, yang dinilai pada RM5.15 bilion. Langkah itu bertujuan membolehkan kumpulan memanfaatkan nilai aset hartanahnya melalui struktur REIT.- DagangNews.com



